MITI sedia runding semula tarif 25 peratus dengan Amerika Syarikat

Laporan Sinar Harian pada Selasa mengenai Trump umum tarif import 25 peratus terhadap Malaysia mulai 1 Ogos.
Laporan Sinar Harian pada Selasa mengenai Trump umum tarif import 25 peratus terhadap Malaysia mulai 1 Ogos.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan bersedia berunding dengan Amerika Syarikat (AS) bagi menangani isu-isu belum diselesaikan susulan keputusan negara itu mengenakan tarif balas sebanyak 25 peratus ke atas eksport Malaysia bermula 1 Ogos depan.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataannya memaklumkan, rundingan akan diteruskan dengan rakan sejawat di Washington bagi menjelaskan skop dan kesan langkah berkenaan, selain mencari penyelesaian adil serta mampan untuk kedua-dua pihak.

"Malaysia mengambil maklum pengumuman kerajaan AS mengenai tarif baharu itu, namun kami percaya penglibatan dan dialog membina kekal sebagai jalan terbaik ke hadapan," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Menurut MITI, hubungan dagangan antara kedua-dua negara sudah lama terjalin dan Malaysia menghargai kerjasama ekonomi yang wujud sekali gus menegaskan komitmen ke arah perjanjian perdagangan seimbang dan saling menguntungkan.

Tambah kenyataan itu, Malaysia turut mengiktiraf kebimbangan yang dibangkitkan oleh AS terutama berhubung isu ketidakseimbangan perdagangan dan akses pasaran.

“Namun, langkah unilateral seperti ini boleh mengganggu operasi perniagaan, rantaian bekalan dan aliran pelaburan yang bermanfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

Sehubungan itu, MITI menegaskan kerajaan akan mengambil semua langkah perlu bagi melindungi kepentingan perniagaan, pekerja dan pengguna di negara ini.

"Kami ucapkan terima kasih kepada semua pihak berkepentingan atas kerjasama dan sokongan berterusan mereka dalam usaha ini," jelasnya.

AS merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan destinasi eksport utama negara dengan jumlah dagangan pada tahun 2024 meningkat hampir 30 peratus kepada RM324.9 bilion.

Artikel Berkaitan:

Eksport Malaysia ke negara itu mencatatkan RM198.7 bilion, manakala import meningkat kepada RM126.3 bilion.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!