[VIDEO] Pemandu Proton Satria didakwa tiada lesen, pandu melulu
SEREMBAN - Pemandu Proton Satria yang terbabit dalam kemalangan dua kenderaan di Jalan Persiaran Senawang 1 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan memandu secara melulu dan membahayakan pengguna lain.
Tertuduh, Iskandar Abd Aris, 20, yang bekerja sebagai penghantar makanan dan juga pesalah muda membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kereta jenis Proton Satria secara melulu yang membahayakan orang awam pada Ahad sekitar jam 2 pagi.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zul Azrin Zainuddin memohon jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin, namun peguam mewakili tertuduh, Noor Syairah Izzati Mohd Noor memohon jumlah itu direndahkan.

"Anak guam saya telah kehilangan ayah sejak 10 tahun lalu dan seawal umur 20 tahun sudah bekerja sebagai penghantar makanan dengan pendapatan tidak menentu.
"Sementara ibunya hanya berniaga kuih dengan pendapatan sekitar RM50 hingga RM80 sehari serta perlu menanggung tiga orang adik-beradik yang lain," katanya.
Ujarnya, jika dikenakan jaminan RM12,000, ia akan memerlukan masa bertahun untuk tertuduh mendapatkan wang itu.
"Mohon jaminan rendah dikenakan ke atasnya. Saya percaya tertuduh akan memberikan kerjasama," katanya.
Sementara itu, tertuduh mengaku bersalah atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3,300 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Ogos depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen dan laporan sosial.
Video berhubung kejadian tular di media sosial memaparkan kereta yang dipandu lelaki itu dipercayai dipandu laju, hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di laluan bertentangan.
Kenderaan itu kemudian bertembung dengan sebuah Perodua Axia yang dinaiki lima penumpang termasuk pemandunya.
Akibat kemalangan itu, pemandu Proton Satria mengalami kecederaan ringan, manakala seorang penumpang Perodua Axia parah dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.
Sementara penumpang lain mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

