Pemandu Proton Satria terlibat kemalangan tular di Senawang direman 3 hari

SEREMBAN - Pemandu Proton Satria yang terlibat dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Persiaran Senawang 1, awal pagi Ahad, telah ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan.
Video berhubung kejadian tular di media sosial memaparkan kereta yang dipandu lelaki berusia 19 tahun itu dipercayai dipandu laju, hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di laluan bertentangan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam kejadian jam 2.55 pagi itu, lelaki berkenaan memandu dari Senawang menuju ke Ampangan sebelum hilang kawalan dan melanggar sebuah tiang lampu serta pokok selepas cuba mengelak sebuah kenderaan yang brek mengejut di hadapannya.
"Kereta Proton Satria kemudian memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah Perodua Axia yang dinaiki lima penumpang termasuk pemandunya.
"Akibat kemalangan itu, pemandu Proton Satria mengalami kecederaan ringan, manakala seorang penumpang Perodua Axia parah dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.
"Penumpang lain mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar," katanya menerusi kenyataan.
Katanya, pemandu Proton Satria yang juga pemilik kenderaan itu hadir membuat laporan polis dan telah ditahan reman selama tiga hari bermula Ahad, selepas mendapat perintah reman daripada Mahkamah Majistret Seremban.
"Ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati keputusan negatif dadah.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," ujar beliau.
Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa memandu berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau melaporkan di balai polis berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

