Wanita mengaku tidak bersalah seleweng diesel

Seorang wanita mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Isnin atas dua pertuduhan berkaitan kesalahan penyelewengan minyak diesel bersubsidi tanpa kebenaran sah. Foto KPDN
Seorang wanita mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Isnin atas dua pertuduhan berkaitan kesalahan penyelewengan minyak diesel bersubsidi tanpa kebenaran sah. Foto KPDN
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang wanita mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu di sini pada Isnin atas dua pertuduhan berkaitan kesalahan penyelewengan minyak diesel bersubsidi tanpa kebenaran sah.

Tertuduh berusia 56 tahun juga pemilik sebuah syarikat membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki sebanyak 3,399 liter minyak diesel tanpa kebenaran sah ketika serbuan dilakukan di Sungai Petai, Pasir Puteh pada 2 Februari tahun lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 bagi kes pertama.

Bagi kesalahan kedua pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(4)(a) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah sementara tertuduh diwakili oleh peguam dari Tetuan Azrul Hasyimi & Co.

Terdahulu, Tuan Wan Mohd I’zzat mencadangkan jaminan sebanyak RM18,000 bagi kes pertama dan RM14,000 bagi kes kedua dengan syarat tambahan iaitu pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Selain itu, tertuduh perlu melapor diri pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) setiap dua bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah bagaimanapun, membenarkan jaminan RM32,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!