Jangan gadai integriti demi cuti sakit palsu - PPN

SHAH ALAM - Semua pihak diingatkan supaya tidak menggadaikan nilai integriti semata-mata ingin mendapatkankan sijil cuti sakit palsu.
Presiden Pertubuhan Perdana Nasional (PPN), Abdul Hakim Hafizi Hamizan berkata, perbuatan itu dikhuatiri bukan sahaja mencemarkan integriti sistem kesihatan tetapi juga menggugat kepercayaan majikan dan masyarakat terhadap profesion perubatan secara keseluruhan.
"Jangan gadai integriti demi cuti palsu. Negara ini memerlukan rakyat yang jujur, berprinsip dan bertanggungjawab. MC bukan bahan dagangan. Kepercayaan itu mahal, jangan musnahkannya.
"Sebagai Presiden PPN, saya menyambut baik tindakan pantas pihak polis yang berjaya menumpaskan sindiket tersebut. Syabas dan tahniah kepada pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda atas kejayaan operasi itu," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Terdahulu, tindakan licik satu sindiket dipercayai menjalankan kegiatan menjual MC palsu sejak dua tahun lalu akhirnya terbongkar apabila polis berjaya menumpaskan operasi mereka dalam satu serbuan awal pagi pada 26 Jun lalu.
Abdul Hakim berkata, penjualan sijil MC palsu bukan sekadar jenayah tetapi pengkhianatan terhadap sistem kesihatan dan nilai kepercayaan.
"PPN menyeru agar semua pihak khususnya anak muda supaya sentiasa berpegang kepada nilai jujur, amanah dan bertanggungjawab. Hendak berjaya, biar dengan jalan betul," ujarnya.
Justeru, PPN menyarankan majikan supaya memperkukuh sistem pengesahan cuti sakit pekerja supaya tidak berlaku penipuan.
Beliau menambah, pihak berkuasa turut diseru supaya mengambil tindakan tegas terhadap semua terlibat termasuk pembeli MC palsu.
Katanya lagi, peranan institusi perubatan juga penting dalam melindungi reputasi profesion mulia itu.
Abdul Hakim turut menasihatkan golongan muda agar tidak berasa bangga memperdayakan sistem kerana akhirnya mereka hanya menipu diri sendiri.
Tegasnya, orang ramai perlu memahami bahawa MC merupakan kemudahan untuk mereka benar-benar sakit, sekali gus bukannya lesen untuk bermalas-malasan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

