X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Itali lumpuh, catat kematian melebihi 1,000 orang

A
A

ROM - Seluruh Itali yang mempunyai populasi 60 juta penduduk telah dikuarantin selepas pemerintah kini berusaha untuk membendung penyebaran koronavirus (Covid-19) di negara itu yang merekodkan lebih 15,000 jangkitan dan angka kematian sudah melebihi 1,000 orang.

Itali menjadi negara kedua paling teruk terjejas akibat pandemik itu selepas China setelah kes jangkitan dilaporkan di kesemua 20 wilayah yang bermula di Lombardy yang menjadi titik panas pandemik itu.

Pada Selasa lalu, bandar-bandar utama seperti Rom, Milan dan Venice yang mendapat jolokan kota romantik telah menjadi ‘bandar hantu’ selepas negara itu berdepan perintah berkurung dan sekatan perjalanan yang ketat akibat ancaman pandemik tersebut.

Penularan virus itu turut menyebabkan penutupan sekolah, kebanyakan premis dan tempat awam sehingga 3 April depan.

Persekutuan Pelancongan Itali, Assoturismo memaklumkan terdapat sehingga 90 peratus tempahan hotel dan agensi pelancongan untuk bulan Mac telah dibatalkan di Rom manakala 80 peratus pembatalan di Sicily.

Perdana Menteri, Giuseppe Conte turut mengarahkan penutupan premis perniagaan kecuali pasar raya, kedai makanan dan farmasi sehingga 25 Mac depan.

Kebanyakan jalan utama di Rom kini lengang dan tidak lagi sesak dengan pelancong.

“Saya seperti bukan berada di Rom yang menjadi destinasi tumpuan pelancong dari seluruh dunia,” kata Muscovite Yekaterina, 30, ketika dia mengambil gambar di Air Pancut Trevi di tengah kota romantik tersebut.

Di bawah langkah baharu itu, pengangkutan awam di kawasan bandar dan perkhidmatan kereta api bagaimanapun masih dibenarkan untuk terus beroperasi.

Satu kaji selidik menunjukkan lebih 80 peratus penduduk di Itali menyokong langkah kuarantin yang dikuatkuasakan pemerintah.

“Saya yakin ia langkah yang betul dan akan meredakan pandemik ini. Besar kemungkinan masalah ini dapat diatasi,” kata seorang penduduk di Rom, Federica Bravi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!