'Mereka datang mengantuk, saya suruh tidur dulu' - Adik tak sangka itu pertemuan terakhir

Sebahagian ahli keluarga dan kenalan tidak dapat menahan kesedihan selepas melihat enam mayat yang ditemukan dalam sebuah kereta di dalam Sungai Korok, dekat Jitra pada Isnin. Foto Bernama
Sebahagian ahli keluarga dan kenalan tidak dapat menahan kesedihan selepas melihat enam mayat yang ditemukan dalam sebuah kereta di dalam Sungai Korok, dekat Jitra pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

JITRA – “Biasanya saya yang minta dia suapkan makan, tapi malam itu dia sendiri suap saya tanpa diminta. Tak sangka itu kali terakhir saya bersama abang.”

Demikian luahan penuh sebak Nur Adliah Shuhada Ishak, 26, adik kepada Mohammad Azim Izat Ishak, 32, yang maut bersama isteri dan empat anak mereka selepas kereta dinaiki mereka ditemui terjunam ke dalam Sungai Korok di sini pagi Isnin.

Menurut Nur Adliah, abangnya bersama isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta anak-anak mereka singgah di rumahnya di Taman Seri Aman pada malam Jumaat lalu kerana terlalu mengantuk.

“Mereka datang dan beritahu mengantuk, jadi saya suruh mereka tidur dulu. Biasanya mereka akan pulang ke rumah di Jerlun awal pagi.

“Tapi jam 5.30 pagi itu mereka sudah tiada. Saya sangka mereka dah balik seperti biasa... sehinggalah ibu mentua abang telefon dan beritahu mereka tak sampai-sampai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Isnin.

Nur Adliah berkata, dia tidak menyangka makan malam bersama pada malam itu menjadi kenangan terakhir bersama abang yang sangat rapat dengannya.

"Saya memang manja dengan abang. Malam itu dia suapkan saya makan tanpa saya minta. Itu bukan kebiasaan... seolah-olah dia tahu itu kali terakhir,” katanya sebak.

Enam sekeluarga ditemukan meninggal dunia di dalam kereta yang terjunam di Sungai Korok, Jitra pada pagi Isnin.
Enam sekeluarga ditemukan meninggal dunia di dalam kereta yang terjunam di Sungai Korok, Jitra pada pagi Isnin.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dia juga sangat rapat dengan anak-anak saudaranya, terutama yang bongsu, Tuah Haidar, enam bulan, kerana dia turut menjadi ibu susuan kepada bayi tersebut.

Menurutnya, misteri kehilangan keluarga itu terjawab apabila orang awam memaklumkan penemuan sebuah kereta di dasar Sungai Korok sekitar jam 8 pagi Isnin.

“Sejak Sabtu kami dah cari di sepanjang kawasan ini, tapi tak jumpa. Semalam pun ada orang maklumkan jumpa kereta Iswara, tapi bila tengok, bukan kereta abang.

"Pagi tadi bila saya nampak bahagian belakang kereta dalam sungai, hati saya terus rasa itu kereta mereka,” katanya.

Mangsa tragedi dikenal pasti sebagai Mohammad Azim Izat, isterinya Nurul Hidayah, serta empat anak mereka: Putra Rayyan Nur Izat, 9; Hawa Adriana, 8; Annayla Huma’ira, 7; dan Tuah Haidar, enam bulan.

Lebih memilukan, pasangan itu sebelum ini turut kehilangan seorang anak lelaki kembar pada Februari lalu.

“Saya reda dengan pemergian mereka, tapi saya masih terbayang keletah anak-anak saudara saya. Terlalu banyak kenangan,” katanya dalam nada sayu.

Anak sulung pasangan itu, Puteri Qisya, 12, tidak mengikuti keluarga dalam perjalanan tersebut dan terselamat daripada tragedi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!