AGC terima representasi tiga daripada 14 individu kes culik warga Palestin

Pada Oktober 2022, seramai 13 lelaki dan seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menculik warga Palestin
Pada Oktober 2022, seramai 13 lelaki dan seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menculik warga Palestin
A
A
A

KUALA LUMPUR – Representasi tiga daripada 14 individu dalam kes culik seorang lelaki warga Palestin di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, telah diterima oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Badius Zaman Ahmad berkata demikian ketika prosiding yang dijadualkan untuk perbicaraan hari pertama di hadapan Hakim, K Muniandy.

Badius berkata, ia membabitkan tiga tertuduh iaitu Edy Ko'im Said, 45; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 26, dan Mohd Azwan Jamaludin, 42.

“Susulan itu, pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan kepada ketiga-tiga tertuduh di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

“Keputusan representasi bagi sebahagian daripada tertuduh lain pula, akan diketahui Khamis ini,” katanya.

Susulan itu, Muniandy meminta pertuduhan pilihan dibacakan kepada ketiga-tiga tertuduh pada prosiding berkenaan.

Sementara itu, ketika ditemui media, Badius berkata, tertuduh-tertuduh itu memfailkan representasi untuk meringankan hukuman.

Katanya, tiga tertuduh itu telah menghantar representasi pada Jun sementara permohonan berkenaan diterima AGC minggu lalu.

Pada Oktober 2022, seramai 13 lelaki dan seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menculik warga Palestin, Omar Z M Albelbaisy Raeda, 34, bagi mendapatkan ganjaran berupa rahsia maklumat berkaitan perisian menggodam telefon bimbit.

Artikel Berkaitan:

Mereka ialah Edy Ko’im, Mohamad Norakmal Hassan, 46, Dody Junaidi, 47, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 44, Mohamad Naziree Mustapha, 44, Faizull Hardey Mohd Isa, 45, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 30, Mohamad Sufian Saly, 28, Muhammad Al Hatim, Nidarahayu Zainal, 39, Raibafie Amdan, 44, Mohd Zaidi Mohd Zain, 59, Mohd Azwan dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 54.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang, Kuala Lumpur, pada jam 10.40 malam, 28 September 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 20 Oktober 2023, Tengku Arif Bongsu bersama pasangan suami isteri, Nidarahayu dan Raibafie turut didakwa atas 19 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM250,000.

Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, Nidarahayu didakwa melupuskan wang RM20,650.86 hasil aktiviti haram daripada akaun simpanannya di CIMB Bank ke dua akaun bank lain di CIMB Bank dan Maybank Islamic Berhad di Cawangan Taman Maluri, antara 15 September hingga 3 Oktober 2022.

Dia turut berdepan 13 pertuduhan memindahkan wang RM184,985.46 ke dalam akaun empat syarikat dan lapan individu, juga hasil aktiviti haram, antara 15 September hingga 2 Oktober tahun sama.

Raibafie dan Tengku Arif Bongsu masing-masing didakwa menerima RM30,350 dan RM25,000 daripada dua akaun bank milik Nidarahayu serta sebuah syarikat, di CIMB Bank Cawangan Jalan Bukit Bintang dan Taman Mutiara, Cheras antara 29 September hingga 2 Oktober 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding ini, peguam, Norma Goh Kim Lian hadir bagi 11 tertuduh iaitu Mohamad Norakmal, Dody, Tengku Arif, Mohamad Naziree, Faizull Hardey, Muhammad Iqmal, Mohamad Sufian, Nidarahayu, Raibafie, Mohd Zaidi dan Tengku Hazarul.

Sementara peguam, Adi Zulkarnain Zulkafli mewakili Muhammad Al Hatim; peguam, Simran Kaur (Edy Ko’im) dan peguam, Muhammad Amin Abdullah hadir bagi pihak Nidarahayu bagi kes culik.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!