1,189 aduan culas nafkah di Selangor, pihak ingkar bakal disita harta

SHAH ALAM - Sebanyak 1,189 aduan langgar perintah nafkah direkodkan di Selangor oleh bekas suami yang culas dalam menunaikan tanggungjawab itu sejak 2022 hingga 31 Mei lalu.
Malah, jumlah itu dilaporkan meningkat dengan mencatatkan 332,391 dan 422 aduan pada 2022 hingga 2024.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, susulan itu, kerajaan negeri melakukan pelbagai usaha untuk menambah baik perundangan syariah terutama berhubung isu nafkah cadangan pindaan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.
“Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), ahli akademik dan pakar perundangan syariah sedang meneliti dan mencadangkan pindaan bagi memperkemas peruntukan berkaitan penguatkuasaan perintah nafkah.
“JAKESS juga sedang merangka peluang kerjasama strategik bersama agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan institusi kewangan bagi membantu proses pengesanan dan penyitaan aset pihak yang ingkar perintah nafkah,” katanya ketika sesi soal jawab di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan daripada Mariam Abdul Rashid (PH-Meru) yang ingin mengetahui tentang kes pelanggaran perintah nafkah di Selangor.
Mengulas lanjut, Mohammad Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia berkata, sebanyak 1,099 pendaftaran kes dicatatkan sejak 2023 hingga Mei lalu dan 71 peratus daripadanya sudah diselesaikan.
Dalam pada itu, beliau turut menjawab soalan tambahan daripada ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh sekiranya terdapat kemudahan lain seperti platform bagi memudahkan urusan tuntutan nafkah oleh para ibu.
“Memang dalam proses untuk memastikan membuat pindaan enakmen tersebut yang kita cadangkan pada 2026. Di peringkat penguatkuasaan kalau bekerja dengan majikan lebih mudah, apatah lagi agensi-agensi kerajaan di bawah kita.
“Yang menjadi masalah bapa bekerja sendiri... biasa apabila sudah kaya, ada kereta, rumah dan bini baharu. Ini yang jadi masalah kerana syarikat mereka sendiri tetapi peruntukan undang-undang sedang diteliti untuk memastikan kebajikan ibu-ibu dijaga,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
