Filem animasi perlu diperbanyakkan

KUALA LUMPUR - Malaysia memerlukan lima atau enam filem animasi setahun memandangkan sambutan sangat tinggi di kalangan penonton di samping membuka potensi besar dalam kitaran ekonomi negara termasuklah potensi eksport.
Presiden Animas, Zahrin Zamzuri berkata, industri animasi negara telah mencipta sejarah baru apabila tayangan filem Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) baru-baru ini telah meraih kutipan RM 60 juta di pawagam.
Beliau berkata, ia adalah kutipan tertinggi dalam rekod tayangan filem animasi terbitan Malaysia setakat ini sekaligus membuktikan bahawa industri animasi semakin berkembang dan mendapat sokongan kuat rakyat Malaysia.
"Pastinya ia juga menyumbang kepada ekonomi digital negara. Malangnya, walaupun potensi filem animasi sangat besar, namun hanya beberapa filem animasi sahaja yang mampu dihasilkan oleh produksi animasi tempatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, jika dilihat kepada rekod tayangan di pawagam sejak era pasca-Covid-19, hanya satu sahaja filem animasi mampu dihasilkan setahun untuk tayangan.
"Pada tahun 2021, tiada filem animasi dihasilkan. Pada tahun 2022 pula hanya satu iaitu Mechamato, begitu juga pada tahun 2023 (Didi & Friends, 2024 (Dongeng Sang Kancil) dan 2025 (EATM)," katanya.
Beliau berkata, produksi ketika ini mempunyai jurang masa yang sangat jauh dan merugikan ekonomi.
"Sebagai contoh, filem EATM1 (2019) mempunyai jurang selama 6 tahun dengan EATM2 (2025).
"Jurang masa yang sebegitu lama tidak wajar dibazirkan dan sepatutnya dimanfaatkan dengan mengisi banyak filem animasi tempatan yang lain," katanya.
Sememangnya kata beliau, industri filem animasi Malaysia masih muda berbanding filem-filem lain.
"Namun perlu diberi perhatian bahawa industri animasi di Malaysia adalah paling pesat berkembang dan terkehadapan berbanding negara ASEAN yang lain," katanya.
Beliau berkata, rakyat Malaysia wajar meraikan pencapaian cemerlang EATM2 dan perlu terus menyokong ke arah penambahbaikan produksi EATM yang seterusnya.
"Justeru, persatuan ini ingin menggesa kerajaan agar memperbanyakkan lagi insentif terhadap industri animasi supaya lebih banyak animasi sehebat EATM dapat dihasilkan seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada ramai generasi muda yang berbakat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
