Pencapaian prestasi dividen KWSP petanda ekonomi negara semakin kukuh - Amir Hamzah

SHAH ALAM - Ketiga-tiga pencapaian iaitu prestasi dividen, lonjakan prestasi Simpanan Shariah dan peningkatan ketara caruman sukarela Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) petanda penting ekonomi negara semakin kukuh.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi dividen KWSP yang cemerlang bukan sahaja memberi manfaat kepada simpanan persaraan ahli, tetapi juga kepada ekonomi negara secara keseluruhan.
Menurutnya, walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global KWSP telah mencatatkan dividen yang kukuh dan berdaya saing selain membuktikan daya tahan serta komitmennya dalam memastikan masa depan persaraan ahli terjamin.
"Syabas kepada KWSP. Alhamdulillah, KWSP sekali lagi berjaya mengatasi jangkaan.
"Turut membanggakan adalah Simpanan Shariah berjaya mencatat prestasi yang setanding dengan Simpanan Konvensional berikutan pelaksanaan pemisahan kedua-dua dana pada Januari 2024.
"Peningkatan caruman sukarela juga jelas menunjukkan bahawa semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk mempunyai jumlah simpanan yang mencukupi apabila mereka bersara kelak," katanya dalam kenyataan menerusi Instagram pada Sabtu.
Sebelum ini, KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi tahun 2024.
Ia lebih tinggi berbanding 5.50 peratus pada 2023 bagi Simpanan Konvensional dan 5.35 peratus pada 2022 dengan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion.
Bagi Simpanan Shariah, 5.40 peratus kadar dividen direkodkan berbanding 4.75 peratus pada 2022 dengan jumlah agihan sebanyak RM7.48 bilion.
Tambah Amir Hamzah, di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dasar pro-pertumbuhan kerajaan, pelaburan dalam infrastruktur dan langkah fiskal memainkan peranan kritikal dalam meningkatkan keyakinan perniagaan serta menyokong sektor utama seperti pembuatan, perkhidmatan dan teknologi.
"KWSP adalah salah satu daripada enam Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) yang mengambil bahagian dalam program GEAR-uP yang diterajui Kementerian Kewangan bagi mempercepatkan penstrukturan ekonomi negara di bawah kerangka Ekonomi Madani.
"Di bawah program ini, GLIC terbabit komited untuk melabur sebanyak RM120 bilion dalam pelaburan langsung domestik (DDI) untuk tempoh lima tahun, serta RM440 bilion pelaburan pasaran awam.
"Program GEAR-Up turut disertai oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!