Bekas pengurus bank kena 'scam' RM680,000

GEORGE TOWN – Seorang bekas pengurus bank berusia 80 tahun menjadi mangsa sindiket penipuan 'phone scam' yang melibatkan kerugian sebanyak RM680,781.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, hasil siasatan mendapati mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil Cyber Security Putrajaya ketika berada di kediamannya di Tanjong Bungah pada 12 Jun lalu.
Menurutnya, suspek mendakwa nombor telefon mangsa terlibat dalam aktiviti penyebaran maklumat palsu.
“Panggilan kemudiannya disambung kononnya ke Balai Polis Alor Setar dan mangsa telah bercakap dengan individu lain yang mengaku sebagai pegawai polis.
“Mangsa diberitahu akaun banknya terlibat dalam pengubahan wang haram dan diarahkan membuka akaun bank CIMB dan BSN baharu atas namanya sendiri untuk tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Mohd Alwi berkata, mangsa kemudian membuka dua akaun bank seperti diarahkan antara 19 hingga 23 Jun sebelum melakukan empat kali transaksi pindahan wang secara dalam talian ke akaun tersebut, yang berjumlah RM680,781.
Tambah beliau lagi, suspek turut mengarahkan mangsa menyerahkan kad ATM dan semua kad kredit miliknya serta slip pembukaan akaun ke dalam sampul surat sebelum meninggalkannya berdekatan Maybank Tanjong Bungah.
Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu pada 26 Jun lalu setelah membuat semakan akaun dan mendapati semua wang telah dipindahkan ke akaun tidak dikenali.
Kesal dengan apa yang berlaku, Mohd Alwi berkata, warga emas itu kemudiannya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada Ahad untuk membuat laporan polis.
Dalam pada itu, Mohd Alwi menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap sebarang panggilan telefon mencurigakan, terutamanya yang meminta maklumat peribadi atau berkaitan perbankan.
“Jika menerima panggilan sedemikian, jangan panik dan jangan dedahkan maklumat peribadi. Segera hubungi pihak bank atau hadir ke balai polis berhampiran. Anda juga boleh membuat semakan nombor akaun dan telefon meragukan di portal https://semakmule.rmp.gov.my,” jelasnya.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

