Wang simpanan, pinjaman peribadi RM137,000 lesap diperdaya 'scammer'

KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Seorang kerani wanita terpaksa memindahkan wang simpanan berjumlah RM137,000 kononnya bagi tujuan audit khas atas arahan 'pegawai polis' selepas didakwa terlibat dalam kes pengubahan wang haram.
Mangsa berusia 38 tahun dipercayai berbuat demikian bagi mengelak dikenakan tindakan, tanpa menyedari bahawa ia merupakan perangkap sindiket penipuan phone scam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, akibat kejadian itu, mangsa terpaksa berputih mata apabila wang simpanan serta wang pinjaman peribadi yang dipindahkan ke akaun suspek lesap.
Menurutnya, kejadian bermula pada 8 Mei lalu selepas mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai jabatan telekomunikasi, memaklumkan bahawa maklumat kad pengenalannya disyaki telah disalahgunakan.
“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Charles Wong dari sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Sarawak.
“Mangsa didakwa terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram dan diarahkan untuk memindahkan wang simpanannya kononnya bagi tujuan audit khas,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Yahaya berkata, mangsa berjaya diperdaya sehingga melakukan lima transaksi pemindahan wang ke akaun berasingan yang diberikan oleh suspek dalam tempoh antara 16 Mei hingga 3 Jun lalu, sebelum menyedari bahawa dirinya telah ditipu.
Susulan kejadian itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan sekiranya menerima panggilan meragukan.
Katanya, masyarakat juga diingatkan untuk membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima menerusi pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

