Eksekutif syarikat rugi RM600,000 terpedaya pelaburan mata wang tidak wujud

Seorang eksekutif syarikat berusia lingkungan 60-an kerugian kira-kira RM600,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang dalam talian tidak wujud. Gambar hiasan
Seorang eksekutif syarikat berusia lingkungan 60-an kerugian kira-kira RM600,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang dalam talian tidak wujud. Gambar hiasan
A
A
A

BINTULU - Seorang eksekutif syarikat berusia lingkungan 60-an kerugian kira-kira RM600,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang dalam talian tidak wujud.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan lelaki itu tertarik dengan tawaran pelaburan yang diiklankan menerusi sebuah laman sesawang sekitar awal Mac lepas.

"Mangsa telah melayari sebuah laman sesawang dan diarahkan oleh suspek untuk memuat turun aplikasi pelaburan palsu melalui pautan diberikan.

"Suspek memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat J.P. Morgan dan berjaya memperdayakan mangsa untuk membuat beberapa transaksi ke dalam akaun bank yang diberikan, melibatkan jumlah keseluruhan melebihi RM600,000,” katanya.

Mancha berkata, mangsa menyedari ditipu selepas suspek masih meminta bayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungan pelaburan dan setakat laporan polis dibuat, dia hanya berjaya mengeluarkan RM441.

Polis menasihati orang ramai agar tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan yang disebarkan melalui laman sosial serta membuat semakan latar belakang syarikat terlebih dahulu.

Orang ramai dinasihatkan untuk memuat turun aplikasi seperti Whoscall, Check Scammers CCID, serta melayari laman portal http://semakmule.rmp.gov.my untuk membuat semakan nombor telefon dan akaun bank sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan, selain mengikuti media sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM dan @CyberCrimeAlertRMP di Facebook, Instagram dan TikTok untuk mendapatkan maklumat serta modus operandi penipuan terkini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!