Penduduk dakwa tapak projek pembinaan jejas kesihatan, keselamatan

RAWANG – Penduduk Taman Tasik Biru, Kundang di sini mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap tapak projek pembinaan pusat data berskala besar berhampiran kawasan perumahan yang didakwa menjejaskan kesihatan serta keselamatan komuniti di situ sejak enam bulan lalu.
Ini kerana lebih 5,000 penghuni di Taman Tasik Biru, Apartmen Laguna Biru 1 dan Laguna Biru 2 terpaksa berdepan masalah debu, habuk, bau busuk, bunyi bising dan limpahan air tanah merah setiap kali hujan sejak enam bulan yang lalu.
Penduduk Melymasni Saad, 48, berkata, keluarganya mengalami batuk berpanjangan kerana habuk tebal yang memasuki rumah setiap hari.
“Doktor maklumkan batuk kami berpunca daripada pencemaran udara. Walaupun dibersihkan setiap hari, habuk tetap memenuhi ruang rumah dan keadaan tidak normal ini menjejaskan kesihatan kami ,” katanya pada sidang media bantahan penduduk di kawasan berkenaan pada Ahad.
Seorang lagi penduduk , Fauzi Hashim, 44, bimbang aspek keselamatan apabila pekerja warga asing dilihat keluar masuk tapak projek melalui pagar bersebelahan taman perumahan.
“Mereka berjalan dalam kumpulan pada waktu pagi, petang dan malam. Privasi kami terganggu dan anak-anak terdedah kepada bahaya ,” katanya.

Jelasnya, kontraktor tapak projek berkenaan juga gagal memasang pagar keselamatan menyebabkan kanak-kanak dan orang awam boleh memasuki kawasan tapak penbinaan dengan mudah.
Syed Ahmad Nasrullah, 34, pula bimbang kerana seluruh keluarganya mengalami alahan kulit dan gatal-gatal sejak projek itu bermula pada Januari lalu.
“Saya dan isteri tidak pernah hadapi masalah ini sebelum ini. Sekarang hampir setiap malam kami tak boleh tidur sebab gatal. Anak-anak juga batuk dan kulit mereka mengalami alahan," katanya.
“Saya harap pihak berwajib turun padang dan selesaikan isu ini segera. Jangan biar kesan pencemaran ini terus memudaratkan kami,” tegasnya.
Nordin Mohd Tahir, 61, berkata, kontraktor bekerja tujuh hari seminggu, dari 7 pagi hingga lewat malam termasuk cuti umum. Bunyi jentera menganggu ketenteraman penduduk.
“Sepatutnya kerja dihentikan pada waktu malam dan hari minggu kerana bunyi bising yang dihasilkan amat menganggu penduduk dan kami di sini cukup terseksa kerana waktu rehat dan tidur kami terganggu,” katanya
Sementara itu Ahli Majlis ,Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 19, Saharudin Abu Bakar ketika dihubungi memaklumkan pihaknya telah membawa isu berkenaan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor untuk tindakan lanjut.
Dalam perkembangan sama, Saharudin turut memaklumkan beliau telah menghubungi pihak pemaju dan kontraktor serta merancang untuk mengadakan pertemuan rasmi dalam masa terdekat.
“Saya bercadang untuk mengadakan mesyuarat bersama pihak MPS, pemaju dan kontraktor pada hari Selasa ini, jam 10 pagi di pejabat saya. Wakil penduduk juga akan dijemput untuk hadir supaya semua pihak boleh menyuarakan pandangan dan cari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.
Mengulas mengenai isu keselamatan yang dibangkitkan penduduk, khususnya mengenai pekerja asing yang keluar masuk kawasan perumahan melalui pagar sementara, beliau memberi jaminan akan membawa perkara itu kepada pihak imigresen.
“Jika ada pekerja tanpa dokumen atau permit kerja, saya akan salurkan maklumat kepada pihak imigresen. Dalam pertemuan akan datang, saya juga akan maklumkan isu ini kepada kontraktor agar langkah sewajarnya diambil.
“Kita tak mahu ada warga asing yang berkeliaran di taman perumahan hingga menimbulkan rasa tidak selamat dalam kalangan penduduk, terutamanya melibatkan kanak-kanak,” tegasnya.
Saharudin memberi jaminan semua aduan yang dibangkitkan akan diambil perhatian dan berharap kerjasama daripada semua pihak untuk memastikan kesejahteraan penduduk tidak terus terjejas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!