[VIDEO] Palang kerap dilanggar, penduduk gesa PBT tambah papan tanda amaran

A
A
A

SEREMBAN – Palang had ketinggian di Jalan Arab Malaysian menghala ke Bukit Mahkota kerap dilanggar kenderaan berat sejak dipasang kira-kira tiga tahun lalu.

Peniaga buah, Lidiahayani Ariffin, 32, berkata, sebelum ini beberapa lori cuba melepasi halangan tersebut kerana laluan itu menjadi jalan pintas ke kawasan perindustrian Nilai 3.

Bas ekspres dipercayai membawa 19 penumpang terbabit kemalangan melanggar palang di Jalan Arab Malaysian. Foto JBPM Negeri Sembilan (Gambar kecil: Lidiahayani dan Zulkifli)
Bas ekspres dipercayai membawa 19 penumpang terbabit kemalangan melanggar palang di Jalan Arab Malaysian. Foto JBPM Negeri Sembilan (Gambar kecil: Lidiahayani dan Zulkifli)

Bagaimanapun, katanya, kejadian membabitkan sebuah bas ekspres yang merempuh palang itu pada malam Jumaat merupakan insiden pertama seumpamanya, dipercayai berpunca daripada masalah pencahayaan dan penggunaan sistem navigasi.

“Ketika itu saya sedang berniaga, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat. Apabila saya lihat, bas telah melanggar palang tersebut. Penumpang semua selamat, cuma beberapa orang cedera ringan.

“Masih ramai yang tidak menyedari kewujudan palang itu, mungkin disebabkan arahan laluan daripada aplikasi navigasi kenderaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Palang had ketinggian bagi mengelak kenderaan berat melalui jalan taman perumahan.
Palang had ketinggian bagi mengelak kenderaan berat melalui jalan taman perumahan.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, sebuah bas yang membawa 19 penumpang dalam perjalanan dari Kajang ke Melaka melanggar palang had ketinggian berkenaan menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh individu termasuk pemandu mengalami kecederaan ringan.

Mereka yang cedera terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita berusia antara 30 hingga 50-an dan telah menerima rawatan di Hospital Serdang dan Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban.

Justeru, Lidiahayani mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) memperbanyak pemasangan papan tanda amaran dan pencahayaan yang lebih jelas bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

“Palang tersebut dipercayai dipasang sejak tiga tahun lalu sebagai langkah mengawal kemasukan kenderaan berat ke kawasan perumahan.

“Jalan ini memang kerap digunakan sebagai jalan pintas untuk mengelak bayaran tol, tetapi tiada bonggol dan papan tanda yang mencukupi menyebabkan ramai memandu laju dan tidak menyedari kewujudan palang,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penduduk, Zulkifli Jabar, 50, berkata, palang itu perlu dikekalkan atas faktor keselamatan penduduk kerana laluan tersebut terletak di kawasan perumahan dan tidak sesuai digunakan oleh kenderaan berat.

“Kenderaan berat dan bas sepatutnya lebih peka terhadap kewujudan palang had ketinggian kerana ini adalah kawasan kediaman.

“Sebelum ini, kenderaan berat kerap melalui laluan itu kerana berhampiran kawasan industri tetapi disebabkan kedudukannya berhampiran taman perumahan, langkah keselamatan itu perlu dikekalkan,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Kamarul Izlan Sulaiman berkata, struktur palang tersebut akan terus dikekalkan demi keselamatan penduduk setempat.

“Pemasangan palang itu dibuat susulan rungutan penduduk mengenai kerosakan jalan akibat penggunaan laluan taman perumahan oleh kenderaan berat dari kawasan perindustrian berdekatan.

“Palang ini bertujuan menghalang kenderaan berat melalui kawasan taman yang tidak dibina untuk menampung beban tinggi,” katanya.

Jelasnya, papan tanda amaran dan reflektor telah dipasang di lokasi berkenaan dan susulan kejadian terbaharu ini, pihak MPKj merancang untuk menambah baik aspek pencahayaan bagi membantu pemandu, khususnya yang pertama kali melalui kawasan itu agar lebih berwaspada.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!