Tujuh cedera bas terlanggar palang had ketinggian

SEREMBAN - Tujuh individu termasuk pemandu bas cedera ringan selepas bas ekspres yang mereka naiki melanggar palang had ketinggian dalam satu kejadian yang berlaku di Jalan Arab Malaysian menghala ke Bukit Mahkota, di sini sebentar tadi.
Komander Operasi Pegawai Kanan Bomba 1 (KUP) Azmi Hamid berkata, laporan berhubung kejadian diterima pada sekitar jam 10.30 malam.

Menurutnya, difahamkan bas berkenaan yang membawa seramai 19 penumpang dalam perjalanan dari Kajang menuju ke Melaka.
“Mereka yang cedera terdiri empat lelaki dan tiga wanita berusia antara 30 hingga 50-an.
"Mangsa yang mengalami kecederaan ringan telah menerima rawatan di zon hijau Hospital Serdang," katanya.

Katanya, operasi menyelamat sedang dijalankan membabitkan sembilan anggota pasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai bersama satu unit jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
