Mental kena kuat - Nova

JURULATIH beregu campuran negara, Nova Widianto menyasarkan sekurang-kurangnya satu kejuaraan buat anak-anak buahnya dalam dua kejohanan utama bulan ini sebagai pembakar semangat menjelang Kejohanan Badminton Dunia pada Ogos depan.
Meskipun mengakui persiapan fizikal dan teknikal berada di landasan yang baik, beliau menekankan bahawa cabaran utama yang masih membelenggu pasangan negara terutama Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin ialah aspek psikologi dan kerapuhan mental ketika berada dalam tekanan.
Kem badminton negara bakal menggalas cabaran dalam saingan Terbuka Jepun berstatus Super 750 dari 15 hingga 20 Julai, disusuli Terbuka China berstatus Super 1000 dari 22 hingga 27 Julai.
“Bagi dua kejohanan besar ini, saya harap mereka boleh raih satu gelaran juara. Ia penting untuk meningkatkan keyakinan diri sebelum Kejohanan Dunia,” katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Jumaat.
Selain Pang Ron-Su Yin, cabaran beregu campuran negara turut digalas oleh pasangan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Kejohanan Dunia pula dijadual berlangsung di Paris, Perancis dari 25 hingga 31 Ogos.
Nova menjelaskan bahawa masalah utama yang sering berulang adalah kegagalan pemain untuk mengawal tekanan dan mengekalkan fokus, terutama selepas melakukan kesilapan mudah atau ketika mendahului perlawanan.
“Selama ini, masalahnya adalah hilang fokus. Komunikasi di gelanggang sudah semakin baik, tetapi aspek mental masih menjadi cabaran buat mereka.
“Kadang-kadang selepas satu kesilapan, fokus mereka boleh hilang. Begitu juga apabila jangkaan semakin tinggi selepas ranking mereka meningkat. Ada kalanya mereka tidak dapat mengawal tekanan dan ia menjadi beban kepada diri sendiri,” katanya.
Menurut jurulatih dari Indonesia itu, kualiti permainan yang dimiliki oleh pasangan negara tidak boleh dipertikaikan kerana mereka telah membuktikan kemampuan menewaskan pasangan terkemuka dunia serta mara ke perlawanan akhir.
Bagaimanapun, tambah beliau, untuk bergelar juara, kekuatan mental menjadi antara penentu utama.
“Bergelar juara bukan sekadar soal kualiti pukulan. Mental harus kuat. Inilah yang sedang kita perbaiki,” ujarnya.
Nova turut menjelaskan bahawa penyelesaian kepada masalah itu perlu diterapkan dalam sesi latihan harian, bukan hanya bergantung kepada sesi psikologi semata-mata.
“Pemain perlu dibiasakan dengan senario perlawanan yang penuh tekanan supaya mereka lebih bersedia semasa kejohanan sebenar.
“Jika di latihan kita tidak biasakan, mustahil di kejohanan mereka boleh melakukannya. Mereka perlu belajar bagaimana untuk bangkit selepas ketinggalan dan bagaimana untuk kekal tenang apabila mendahului,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
