Gula-gula kenyal: Ibu bapa perlu pantau anak-anak

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Ibu bapa digesa memantau sendiri pembelian makanan ringan oleh anak masing-masing bagi memastikan ia selamat untuk dimakan.

Suri rumah, Irmalini Amir Hamzah, 40, berkata, jualan makanan ringan seperti gula-gula kenyal mudah didapati di platform jualan atas talian selain dijual di kedai-kedai runcit.

“Kita tahu sekarang ini anak-anak boleh beli sendiri makanan ringan ini yang datang dengan pelbagai bentuk untuk menarik minat mereka. Jadi, ibu bapa perlu periksa jenis makanan ringan apa yang anak-anak beli dan beri nasihat kepada mereka.

“Saya sendiri pernah terbeli gula-gula kenyal ini dan memang tidak sesuai untuk kanak-kanak makan. Pihak sekolah juga perlu pastikan tiada jualan makanan ringan ini di kantin mahu pun koperasi,” katanya kepada Sinar Harian.

Kementerian Kesihatan (KKM) pada Jumaat menegaskan penjualan produk gula-gula kenyal atau gummy berbentuk bebola mata dilarang di semua platform dalam talian dan pasaran domestik sementara siasatan mendapati produk berkenaan menyalahi keperluan pelabelan yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985, Akta Makanan 1983 [Akta 281].

Tindakan tegas KKM itu susulan kematian kanak-kanak berusia 10 tahun, Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin akibat tercekik gummy bebola mata di Pulau Pinang, Khamis lalu.

Senada dengan pandangan itu, Mohamad Halim Arafullah, 43, turut menyarankan ibu bapa memantau makanan yang dibeli oleh anak masing-masing selain mengehadkan pembelian makanan ringan terutama yang dijual di luar sekolah.

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.

Katanya, anak-anak juga mesti dididik tentang bahaya produk tidak berdaftar dan mengelak makanan yang meragukan.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah tanggungjawab bersama. Saya menyeru semua pihak untuk mengambil iktibar daripada kejadian ini agar ia tidak berulang lagi,” katanya merangkap Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Damai di sini.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SK St Michael Ipoh, Faridzul Azlan Abd Shani berkata, kerajaan wajar menggubal peraturan ketat terhadap penjualan makanan ringan kepada kanak-kanak dengan melarang makanan ringan yang berpotensi mendatangkan risiko tercekik seperti gula-gula kenyal dijual kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

“Pihak berkuasa tempatan perlu lebih tegas dalam mengawal penjualan makanan di sekitar sekolah. Peniaga yang menjual makanan berbahaya kepada kanak-kanak perlu dikenakan tindakan termasuk denda atau pembatalan lesen perniagaan jika gagal mematuhi peraturan.

“PIBG mencadangkan supaya pihak berkuasa melakukan pemantauan berkala terhadap peniaga yang beroperasi di sekitar sekolah,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!