'Malaysia-Bangladesh perlu hapuskan sindiket pekerja asing'

SHAH ALAM - Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pengambilan pekerja asing yang ditandatangani antara Malaysia dan Bangladesh pada 2021 gagal memberi manfaat kepada pekerja dan majikan.
Selain menyifatkan perjanjian tersebut sebagai lemah, bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago berkata, MoU berkenaan tidak mempunyai akauntabiliti dan membenarkan sindiket mengeksploitasi pekerja.
"Malaysia dan Bangladesh perlu sedar tanpa perjanjian mengikat, sindiket akan memperdagangkan pekerja selain industri kehilangan wang dan Malaysia diaibkan di peringkat global.
"Sudah tiba masanya untuk menghapuskan kartel dan menamatkan perhambaan moden selama-lamanya," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini sebuah portal melaporkan, Penasihat Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Dr Asif Nazrul menggesa kerajaan Malaysia menyemak semula MoU berkenaan selain memberi gambaran negara itu mungkin tidak akan menghantar pekerja warganya ke negara ini sekiranya MoU tidak dipinda.
Dalam pada itu Charles mendakwa, syarikat di Malaysia berdepan larangan import oleh Amerika Syarikat (AS), denda oleh Kesatuan Eropah (EU) dan kekacauan dalam rantaian bekalan hingga memaksa perniagaan membayar jutaan ringgit untuk menyelesaikan skandal buruh paksa.
Malah menurutnya, kartel pengambilan pekerja mengaut keuntungan ekoran MoU tidak mempunyai kuasa untuk mendenda, membatalkan lesen dan tiada penyelesaian kepada pekerja yang dipaksa bekerja seperti hamba.
"Perjanjian yang mengikat bermaksud penalti yang sebenar, ketelusan dan sifar kos kepada pekerja.
"Malaysia perlu menjelaskan sama ada enggan merunding perjanjian buruh baharu yang terbuka dan telus dengan Bangladesh.
"Kerajaan perlu membuktikan kepada pekerja, majikan dan rakyat kepimpinan sebenar dengan membetulkan sistem yang cacat dan menyuburkan rasuah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
