MCA persoal dividen KWSP bakal diterima pekerja asing

SHAH ALAM - MCA mempersoalkan sama ada pekerja asing di negara ini akan menikmati dividen sama seperti rakyat Malaysia susulan perlaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dua peratus bagi warga asing.
Naib Presiden MCA, Datuk Ir Lawrence Low berkata, beliau juga tertanya-tanya adakah Malaysia mengundur ke belakang apabila melaksanakan dasar yang tidak lagi dilaksanakan negara lain.
"Adakah nanti pekerja asing di Malaysia akan dapat menikmati dividen sama seperti rakyat Malaysia?
"Langkah diperkenalkan terbabit bertindih dengan Skim Persaraan Swasta yang sedia ada, sekali gus persoalan ini memerlukan jawapan menyakinkan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau mengingatkan kerajaan bahawa dasar itu pernah dilaksanakan di Singapura, namun ia dihentikan secara rasmi pada tahun lalu.
Tambahnya, Central Provident Fund (CPF) Singapura yang pernah melaksanakan dasar berkenaan telah menutup akaun 300,000 pekerja asing mereka secara automatik bermula April 2024.
"Ini membuktikan Singapura sedar baik buruk dasar tersebut dan komited memberi tumpuan serta memberi manfaat kepada rakyatnya, bukan warga asing," katanya.
Dalam perkembangan sama, Lawrence yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) MCA turut mempersoal sama ada impak dua peratus itu akan diserap untuk ditanggung rakyat selaku pengguna akhir menerusi kenaikan harga barang atau tidak.
“Dalam suasana ekonomi yang mencabar sekarang, adakah majikan mempunyai pilihan lain? Barangan yang mahal bukan sahaja membebankan pengguna tetapi juga melemahkan daya saing barangan dan majikan, sekali gus menjejaskan perniagaan serta industri tempatan termasuk pekerja tempatan.
“Majikan yang tidak dapat menyerap mahupun memindahkan kos mungkin terpaksa mengambil jalan mudah dengan menggaji pekerja asing tanpa izin (PATI), sekali gus memburukkan lagi masalah lambakan pekerja asing tanpa dokumen sah di negara ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, Lawrence berkata, langkah kerajaan untuk mengenakan caruman dua peratus KWSP memerlukan jaminan dan langkah efektif bagi memastikan ia menjadi dasar yang membantu meningkatkan ekonomi negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

