AMM ke-58: Kenderaan berat disaran elak masuk pusat bandar KL

KUALA LUMPUR – Kenderaan perdagangan dan berat disarankan untuk tidak memasuki kawasan pusat bandar Kuala Lumpur sepanjang tempoh lencongan jalan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN ke-58 (AMM ke-58) yang berlangsung dari 8 hingga 11 Julai ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, langkah itu diambil bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko kemalangan dan kerosakan kenderaan, terutama ketika waktu puncak.
Menurutnya, lencongan jalan akan dilaksanakan secara berperingkat membabitkan tiga lebuh raya dan 15 laluan utama di sekitar Lembah Klang sepanjang tempoh tersebut.
“Raptai pergerakan motoked melibatkan laluan dari lapangan terbang ke hotel penginapan dan ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) akan dijalankan bermula 4 hingga 6 Julai.
“Seramai 391 pegawai dan anggota trafik, termasuk pegawai kanan serta pegawai rendah polis, ditugaskan bagi memastikan kelancaran raptai dan pengurusan penuh lalu lintas sepanjang 8 hingga 12 Julai,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan lebih awal dan mengutamakan penggunaan pengangkutan awam bagi menyokong kelancaran acara bertaraf antarabangsa itu.
“Antara laluan yang terlibat termasuk laluan masuk dan keluar ke ibu negara, laluan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), laluan ke KLCC serta ke hotel-hotel penginapan rasmi.
“Kerjasama semua pihak dalam mematuhi arahan petugas di lapangan amat dihargai dan dapat membantu mewujudkan persekitaran jalan raya yang lebih berhemah serta meningkatkan imej negara di mata dunia,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

