Penubuhan kelab antirasuah di peringkat sekolah rendah pupuk integriti generasi muda

SHAH ALAM - Penubuhan kelab antirasuah di peringkat sekolah rendah wajar dipertimbang sebagai salah satu usaha jangka panjang memupuk integriti dalam kalangan generasi muda.
Pengerusi Gabungan Ideologi Anak Padang Terap, Ku Mohd Fikri Hanif berkata, ini kerana ada dalam kalangan orang Islam sendiri masih tidak menyedari bahawa rasuah merupakan dosa besar dan ia dianggap perkara biasa dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, beliau menekankan bahawa kesedaran mengenai bahaya rasuah perlu diterapkan lebih awal melalui kokurikulum di sekolah.
"Pendekatan itu penting agar anak-anak memahami kesan buruk perbuatan rasuah, bukan sekadar mendengar amaran supaya tidak memberi atau menerima rasuah sahaja.
"Amalan itu juga menyebabkan jurang ekonomi antara rakyat semakin melebar. Orang kaya akan terus kaya dan orang miskin akan terus papa kedana," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin menegaskan usaha membanteras rasuah bukanlah tanggungjawab yang boleh dipikul secara bersendirian, sebaliknya ia memerlukan penglibatan daripada semua pihak.
Jelas beliau, perjuangan melawan rasuah merupakan satu tanggungjawab kolektif yang harus dipikul bersama oleh semua pihak tanpa mengira pangkat dan darjat.
Dalam pada itu Ku Mohd Fikri turut mengingatkan, perbuatan rasuah walaupun kecil boleh mengundang kesan buruk kepada negara secara keseluruhan.
Justeru, beliau berkata, semua pihak perlu memainkan peranan untuk memastikan amalan rasuah tidak terus berleluasa.
Tambahnya, kesedaran menolak rasuah perlu bermula daripada rumah dan disusuli pendidikan yang diterapkan di sekolah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

