Realisasikan generasi muda berakhlak, berilmu tanpa lupa nilai islam - Sultan Pahang

LIPIS – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan harapan agar generasi muda di negeri ini membesar sebagai individu yang berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing.
Baginda bertitah, penubuhan Maahad Tahfiz Ar-Rushd (MTAR) yang diasaskan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail antara usaha yang dilihat dapat merealisasikan hasrat tersebut dalam memperkasa pendidikan Islam khususnya melahirkan generasi huffaz berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
"Saya ingin melihat generasi muda di Pahang membesar sebagai generasi yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing tanpa melupakan nilai-nilai islam yang menjadi tunjang kehidupan.
"Anak-anak Pahang perlu dilatih dengan ilmu moden, teknologi serta kemahiran kepimpinan.
"Tambahan, saya menyambut baik kerjasama yang terjalin antara Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) melalui (MUIP) dengan Mohamed bin Zayed University for Humanities (MBZUH), UAE dalam memperkukuhkan Pendidikan Islam dan tahfiz di negeri ini," titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Maahad Tahfiz Ar-Rushd (MTAR) di Tanjung Gahai di sini pada Jumaat.
Titahnya, kerjasama strategik itu bukan sahaja memberi manfaat dalam memperkasakan kurikulum tahfiz, tetapi juga membolehkan pertukaran ilmu, latihan tenaga pengajar serta pembangunan penyelidikan Islam.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah terus mengingatkan amanat yang telah disampaikan kepada para pengetua pusat tahfiz, madrasah dan pondok di Pahang sebelum ini.
"Saya berhajat untuk terus memperkasakan pusat tahfiz, madrasah dan pondok ini dengan melaksanakan pelbagai pendekatan pendidikan yang bertujuan membawa pusat tahfiz, madrasah dan pondok ini ke arus perdana masyarakat serta menjadi penyumbang penting kepada kemakmuran Islam di negeri ini.
"Saya ingin sekali lagi menasihatkan para pengetua pusat tahfiz, madrasah dan pondok supaya sentiasa bersungguh-sungguh dalam melaksanakan dasar-dasar yang telah diputuskan oleh MUIP bagi tujuan memenuhi amanat saya tersebut," titahnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

