Datuk Wira ditahan kes pengubahan wang haram RM75 juta

PUTRAJAYA – Seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Wira ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan kes pengubahan wang haram bernilai kira-kira RM75 juta.
Lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang pada Rabu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Perintah reman selama empat hari sehingga 6 Julai terhadap suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.
Menurut sumber, suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2012 bagi kelulusan pembiayaan pinjaman berjumlah RM400 juta untuk sebuah projek pembangunan rangkaian fiber.
“Siasatan awal mengesyaki bahawa RM75 juta tersebut telah disalurkan kepada syarikat milik suspek,” katanya.
Tambah sumber itu lagi, tangkapan terhadap suspek adalah susulan Op Fibre yang dijalankan oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM.
“Pada 30 Jun lalu, BOK telah menggeledah empat lokasi berbeza termasuk kediaman dan pejabat suspek di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
“Melalui operasi yang dijalankan, SPRM telah membekukan 12 akaun bank termasuk akaun persendirian dan syarikat, dengan jumlah keseluruhan bernilai kira-kira RM400,000,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata, kes disiasat di bawah kesalahan-kesalahan AMLATFPUAA 2001, yang melibatkan aktiviti pengubahan wang haram.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
