Mohd Afiq nafi dakwaan fitnah, ambil tindakan undang-undang

Mohd Afiq turut memaklumkan telah mengambil tindakan undang-undang termasuk saman sivil dan laporan jenayah terhadap semua pemilik akaun media sosial terbabit.
Mohd Afiq turut memaklumkan telah mengambil tindakan undang-undang termasuk saman sivil dan laporan jenayah terhadap semua pemilik akaun media sosial terbabit.
A
A
A

SHAH ALAM – Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Mohd Afiq Mohd Tuniman menafikan semua tuduhan tidak berasas disebarkan terhadap dirinya melalui satu hantaran di Facebook oleh individu menggunakan akaun 'Suara Rakyat'.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, beliau menjelaskan bahawa hantaran tersebut telah mengaitkan dirinya secara langsung dengan pelbagai tuduhan berat termasuk penglibatan dalam kumpulan samseng 'Kucing Merah', insiden pergaduhan di Sungai Mas dan kebakaran di Saujana Putra, dakwaan memiliki perlindungan politik bagi mengelak tindakan undang-undang, serta aktiviti merekrut anak-anak muda ke dalam dunia gangsterisme.

“Kesemua dakwaan ini adalah tidak benar, bersifat fitnah jahat, serta berniat untuk merosakkan imej dan maruah saya, sama ada secara peribadi mahupun profesional,” ujarnya.

Afiq turut mendakwa fitnah yang sama pernah ditularkan sebelum ini di beberapa platform lain termasuk saluran Telegram “Edisi Siasat” dan akaun Facebook milik Badrul Hisham Shaharin (Cikgu Bard) serta Tun Faisal Ismail Aziz yang turut menyebarkan naratif tidak berasas berkaitan dirinya.

Menurutnya, susulan laporan polis yang telah dibuat, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan, dan seorang individu dikenali sebagai Khairul Anwar Zainal yang menggunakan akaun Facebook “Khairul Anwar Fiza” telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Saya menghargai tindakan tegas pihak polis dalam menangani perkara ini dan berharap siasatan akan dijalankan secara menyeluruh terhadap semua pihak yang terlibat,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan telah mengambil tindakan undang-undang termasuk saman sivil dan laporan jenayah terhadap semua pemilik akaun media sosial terbabit. Tindakan tersebut merangkumi peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang berkaitan.

Surat tuntutan (LOD) juga telah dihantar kepada ketiga-tiga individu terbabit dan kini menunggu maklum balas daripada mereka.

“Berikutan kenyataan maaf terbuka di media sosial oleh Nik Badrul Hisham terhadap saya berhubung fitnah yang sama, LOD terhadap beliau yang juga merupakan salah seorang daripada tiga individu ini tetap akan diteruskan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang belum disahkan kesahihannya serta sentiasa bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial.

“Saya akan terus mempertahankan nama baik saya dan mengambil segala langkah yang sewajarnya bagi memastikan kebenaran dapat ditegakkan,” tambahnya.

Sementara itu, Keadilan Cabang Kuala Langat dalam satu kenyataan berasingan turut mengecam tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menyebarkan tuduhan palsu terhadap individu dalam organisasi mereka menerusi media sosial.

Ketua Penerangannya, Mohd Khairool Ngadon berkata, fitnah yang tular itu mengandungi dakwaan serius yang tidak berasas dan bermotif jahat.

“Ia jelas merupakan usaha untuk menimbulkan kekeliruan, merosakkan reputasi serta mencetuskan ketegangan di peringkat akar umbi,” ujarnya.

Menurutnya, cabang itu menyokong tindakan undang-undang yang sedang diambil bagi menangani perkara ini secara sah dan teratur.

“Kami menegaskan bahawa penyebaran maklumat palsu adalah satu kesalahan dan tindakan mesti diambil terhadap semua yang terlibat,” ujarnya.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya lebih berhati-hati, tidak terlibat dalam penyebaran fitnah, dan sentiasa memastikan kesahihan maklumat sebelum berkongsi.

Keadilan Cabang Kuala Langat komited menegakkan kebenaran dan menolak politik kotor,” tegasnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!