'Beban Hasnah sangat besar'

PUTRAJAYA - Pelantikan Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim sebagai pemangku Ketua Hakim Negara mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengamal undang-undang yang melihat langkah itu bakal berisiko membebankan institusi kehakiman.
Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata, meskipun pelantikan sementara itu sah dari segi undang-undang berdasarkan peruntukan Seksyen 9(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, namun beliau mempersoalkan rasional memberikan dua tugas utama kepada satu individu.
“Hasnah masih memegang jawatan Hakim Besar Malaya. Tugas itu sendiri sudah besar tanggungjawabnya. Beliau perlu mengurus semua mahkamah tinggi di Semenanjung, termasuk isu pelantikan, perpindahan dan kenaikan pangkat para hakim.
“Kini beliau juga perlu memikul peranan Ketua Hakim Negara yang bertanggungjawab terhadap Mahkamah Persekutuan serta menyusun panel-panel hakim bagi mendengar kes rayuan tertinggi negara. Beban itu sangat besar,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Haniff Khatri, keadaan itu berpunca daripada kegagalan kerajaan menyelesaikan pelantikan tetap bagi jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang turut kosong ketika ini.
“Saya dan ramai lagi pengamal undang-undang sudah lama menyuarakan perkara ini. Sepatutnya pelantikan tetap sudah dibuat sebelum persaraan berlaku. Ini soal tadbir urus kehakiman yang sangat penting,” tegas beliau.
Mengulas mengenai pelantikan kekal yang bakal dibuat, Haniff menegaskan bahawa faktor kekananan dalam kalangan hakim kanan perlu diberi keutamaan selari dengan adat dan konvensyen kehakiman yang telah diamalkan sejak sekian lama.
Katanya, terdapat beberapa nama Hakim Mahkamah Persekutuan yang layak berdasarkan kekananan, pengalaman, umur dan rekod penghakiman.
Antara nama yang disebut beliau ialah Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
“Kesemua mereka telah lama berkhidmat dan menulis serta menghasilkan banyak penghakiman dari Mahkamah Tinggi hingga Mahkamah Persekutuan.
“Ini bukan soal politik atau populariti. Ini soal sistem kehakiman negara. Kalau kita nak lantik Ketua Hakim Negara, kita kena pastikan integriti dan rekod perkhidmatan hakim itu berada pada tahap tertinggi,” katanya.
Haniff Khatri berharap kerajaan bertindak telus dan memberi penjelasan kepada rakyat berhubung kelewatan pelantikan jawatan tertinggi kehakiman ini.
Katanya, pelantikan tidak seharusnya dibuat secara rahsia atau mengejut, sebaliknya perlu menghormati pandangan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong.
“Ini bukan jawatan politik. Ini jawatan yang menjadi benteng keadilan tertinggi dalam negara. Kita tidak boleh kompromi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

