Tempoh perkhidmatan Tengku Maimun wajar dilanjutkan - DAP

Tengku Maimun (kiri) dan Abang Iskandar masing-masing dijadualkan bersara pada Selasa dan Rabu.
Tengku Maimun (kiri) dan Abang Iskandar masing-masing dijadualkan bersara pada Selasa dan Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang dijadualkan bersara masing-masing pada Selasa dan Rabu wajar disambung selama enam bulan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Parti Tindakan Demokratik (DAP) menerusi laman Facebook berkata, ini kerana mereka telah melaksanakan tugas dengan cemerlang dan penuh integriti.

Menurutnya, walaupun lanjutan seperti ini bukan satu hak yang automatik namun terdapat lanjutan diberikan kepada hakim-hakim kanan terdahulu selepas persaraan wajib mereka.

"Kami mengambil maklum perkara tersebut dan tidak melihat sebarang sebab mengapa perkara sama tidak boleh diterapkan kepada Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan pada masa ini.

"⁠Harus ditekankan bahawa sokongan DAP terhadap lanjutan perkhidmatan hakim-hakim tersebut bukanlah bertujuan untuk mempolitikkan isu ini sebaliknya ia merupakan satu pengiktirafan tulen terhadap sumbangan mereka dalam pembangunan dan pembaharuan institusi Kehakiman yang merupakan salah satu keutamaan kerajaan Madani," katanya pada Selasa.

Tambah kenyataan itu, lanjutan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan akan memperkukuh komitmen kerajaan terhadap penambahbaikan pentadbiran keadilan dan institusi Kehakiman.

"Ia dilihat berdasarkan sumbangan dan prestasi mereka dengan penekanan kepada pengiktirafan terhadap merit sebagai kriteria utama dalam pelantikan hakim serta lanjutan tempoh perkhidmatan," ujarnya.

CWC DAP turut mengambil maklum akan berlaku banyak kekosongan dalam Mahkamah Persekutuan susulan persaraan hakim-hakim yang telah dan bakal berlaku.

"Oleh sebab itu, menjadikan satu keperluan untuk mengekalkan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan sedia ada sebagai langkah penting bagi memastikan proses peralihan pelantikan baharu ke Mahkamah Persekutuan berjalan dengan lancar.

Artikel Berkaitan:

"Keyakinan orang ramai terhadap institusi Kehakiman adalah amat penting dan kami sekali lagi menegaskan bahawa lanjutan tempoh perkhidmatan hakim-hakim tersebut adalah selaras dengan agenda reformasi kerajaan Madani," ulasnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!