Rampasan logam haram RM96 juta, 60 individu ditahan

KUALA LUMPUR – Kegiatan pengimportan bahan logam secara tidak sah untuk kegunaan sektor pembinaan tumpas menerusi serbuan melibatkan enam premis di sekitar Johor, Selangor dan Melaka dengan nilai rampasan melebihi RM96 juta pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, operasi bersepadu itu dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Bahagian Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) bersama agensi-agensi penguat kuasa lain.
Menurutnya, operasi yang dikenali sebagai Op Padu 2.0 itu turut disertai Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Hasil pemeriksaan mendapati premis-premis tersebut mengimport, memproses dan membekalkan produk logam tanpa Perakuan Pematuhan Standard (PPS) yang sah serta menggajikan pekerja warga asing tanpa dokumen.
"Operasi sama turut menahan seramai 60 pekerja terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan 57 warga asing berusia antara 26 hingga 59 tahun atas pelbagai kesalahan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Baliau berkata, keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM96,350,231.
"Antara barangan yang dirampas termasuk 11,000 batang keluli tetulang (rebar), 1,700 batang jejaring dawai (wire mesh), 1,500 batang rod dawai (wire rod), 152,830 batang keluli berongga (hollow section steel), 4,393 batang keluli rata (flat bar) dan 2,432 gegelung kepingan keluli tergalvani celup panas (hot dipped galvanised steel sheet) dengan anggaran berat melebihi 12,000 tan.
"Turut disita pelbagai peralatan industri seperti mesin pemotong logam berskala besar, mesin automatik, mesin, jentera pengangkat (forklift) serta 152 tong gas," katanya.
Azmi berkata, penggunaan produk besi dan logam yang tidak mematuhi piawaian boleh menjejaskan keselamatan struktur pembinaan dan mendatangkan risiko kepada sektor industri tempatan.
"Kes disiasat mengikut pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994 (Akta 520), Akta Imigresen 1959/63, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta beberapa peraturan di bawah pihak berkuasa tempatan.
"Selain itu, JAS turut mengeluarkan kompaun terhadap premis berkenaan kerana tiada sistem pengolahan efluen dan pengurusan buangan yang betul, manakala PBT mengeluarkan kompaun berjumlah RM12,000 dan notis perobohan terhadap struktur tambahan tanpa kebenaran," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 4 Julai 2025, WCB/PSK telah melaksanakan 161 serbuan di seluruh negara melibatkan keseluruhan nilai rampasan mencecah RM540,202,096.61.
"Seramai 296 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi ini melibatkan pelbagai kesalahan antaranya penyeludupan barang tidak berkastam, barangan kawalan, hidupan liar serta penjualan senjata tiruan.
"PDRM akan terus menyokong penuh usaha kerajaan bagi memastikan keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara," katanya.
Tambahnya, penglibatan dan kerjasama orang awam dalam memberikan maklumat kepada pihak polis juga amat digalakkan agar jenayah ini dapat dibanteras sepenuhnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

