'Kalau hafal Quran, semua subjek jadi senang' – Pelajar terbaik STPM Kebangsaan

KOTA BHARU – Istiqamah menghafal al-Quran sejak Tingkatan 1 menjadi tunjang kejayaan seorang pelajar dari Kelantan meraih kelompok lapan terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2024 seluruh negara.
Muhammad Irham Mazlan, 20, calon aliran Sains Sosial itu mencatat kecemerlangan dengan keputusan 5A dan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00.
“Kalau kita boleh ulang satu muka surat al-Quran sampai 40 kali, ulang kaji subjek akademik pun jadi lebih mudah.
“Hafazan melatih otak untuk fokus dan ingat,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Bekas pelajar prauniversiti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas itu mula menghafaz al-Quran ketika Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok, Bachok dan meneruskannya secara konsisten walaupun berpindah ke sekolah harian biasa semasa Tingkatan 6.
Menguasai 26 juzuk al-Quran, Muhammad Irham mengaplikasikan kaedah hafazan yang sama untuk ulang kaji akademik dengan mengulang nota dan menjawab latihan secara berterusan.
Dia dan rakan-rakan turut membentuk kumpulan belajar kecil serta mengambil inisiatif untuk terus belajar di surau, dewan seminar dan blok akademik di sekolahnya hingga jam 11 malam setiap hari.
“Saya tak tinggal di asrama dan berulang-alik. Kami minta kebenaran pengetua untuk belajar malam. Lelaki sampai 11 malam, perempuan sampai 7 malam.
“Kami buat sistem mentor-mentee, jawab soalan berulang-ulang,” katanya yang juga bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Prauniversiti sekolah itu.
Budaya pembelajaran di sekolahnya turut menyokong suasana pengajian berteraskan nilai Islam, walaupun bukan sekolah agama.
“Setiap pagi kami mulakan dengan bacaan Quran, solat sunat, tazkirah. Petang pula baca al-Waqiah.
“Ini amalan harian yang bantu tenangkan jiwa dan kuatkan semangat,” jelasnya.
Muhammad Irham menyimpan impian untuk melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang dan syariah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Sebelum memasuki sekolah menengah, dia sudah tiga kali khatam al-Quran secara tradisional bersama ustazah di kampung.
Abangnya, Muhammad Izzat Mazlan, 25, juga seorang hafiz dan kini guru di Sekolah Kenangsaan Wangsa Jaya.
Bapanya, Mazlan Ahmad, 59, ialah guru Sejarah juga Pengetua SMK Dato Biji Wangsa manakala ibunya, Sharifah Nuraini Syed Ab Kadir,53, Guru Kanan Sains Matematik di SMK Kutan.

Kini Muhammad Irham turut aktif sebagai Naib Presiden Ikatan Legasi Mahasiswa Ulul Albab Nasional (ILMUAN), sebuah gerakan yang mempromosikan pendidikan Ulul Albab, gabungan hafazan al-Quran dengan penguasaan iImu sains dan teknologi.
“Kami nak lahirkan pelajar yang boleh jadi imam, jurutera, doktor, seperti tokoh-tokoh besar dalam sejarah Islam. Itu misi Ulul Albab,” jelasnya.
Beliau turut berpesan kepada anak muda agar terus meletakkan al-Quran sebagai asas dalam kehidupan.
“Kita boleh skor 4.00, tapi kalau tak beri manfaat kepada orang lain, itu bukan kejayaan sebenar. Al-Quran mesti jadi tunjang sepanjang hidup,” tegasnya.
Selain Muhammad Irham, tiga lagi pelajar dari Kelantan yang turut meraih CGPA 4.00 dalam aliran Sains Sosial ialah Nur Amalina Osman, Nurnajwa Syafina Mohd Redzuan (kedua-duanya dari SMK Tengku Panglima Raja) dan Ahmad Hakimi Shariffudin dari SMK Seri Aman, menjadikan Kelantan terbaik STPM seluruh negara.
Turut cemerlang ialah Tengku Nurhanis Tengku Othman dari SMKA Naim Lilbanat yang dinobatkan sebagai calon berkeperluan khas kategori penglihatan, terbaik negeri.
Bagi keputusan STAM pula, seramai tujuh pelajar dari institusi agama Kelantan memperoleh pangkat 10 Mumtaz iaitu dari Maahad Muhammadi Pasir Mas, Muhammad Hilmi Zulkifli dan Zakiah Madihah Mohd Azlan.
Tuan Mohd Al-Syafie Tuan Mohd Saripudin dari Pusat Pengajian Pondok, Nur Ain Ariesya Ahmad Tarmizi (Maahad Muhammadi Pasir Pekan), dua dari Maahad Muhammadi Perempuan Farah Fadlhlina Ismail dan Nur Ain Aqilah Abdull Malek serta Tuan Amin Fawwaz Tuan Soh (Maahad Muhammadi Lelaki).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

