[VIDEO] Tengkorak kerbau jadi hiasan, lambang budaya dan keperkasaan

A
A
A

TEMERLOH - Seorang guru di sini mengambil pendekatan unik apabila menjadikan tengkorak kerbau jantan sebagai hiasan dinding sejak lima tahun lalu.

Rozali Abdul Rani, 53, atau lebih dikenali Pak Wea kini gigih memproses tengkorak haiwan tersebut selepas terlibat dalam penghasilan tetuang iaitu sejenis alat tiupan tradisional menggunakan tanduk kerbau sejak 1996.

Pak Wea bersama sebahagian koleksi hiasan tengkorak dan tetuang.
Pak Wea bersama sebahagian koleksi hiasan tengkorak dan tetuang.

“Bagi peminat seni ukiran dan barangan antik, tengkorak kerbau memberi nilai tambah yang istimewa. Ia simbol kebanggaan dan kekuatan kepada pemiliknya.

Pak Wea mula menghasilkan hiasan menggunakan tengkorak kerbau jantan sejak lima tahun lalu.
Pak Wea mula menghasilkan hiasan menggunakan tengkorak kerbau jantan sejak lima tahun lalu.

"Tengkorak ini bukan hanya seni, tapi juga sejarah dan simbol budaya. Bagi masyarakat di Sabah dan beberapa bahagian lain di Malaysia, kerbau adalah lambang kegagahan, kemewahan dan kekuatan.

"Ia sering dijadikan hantaran perkahwinan dan menjadi simbol status dalam masyarakat. Dahulu, kerbau turut digunakan dalam kerja-kerja kampung seperti membajak sawah, menarik kayu balak dan mengangkut hasil tanaman," katanya yang juga Ketua Pusat di Pusat Latihan Guru Dalam Perkhidmatan (PLGDP) Zon Timur di sini.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, proses menyembelih seekor kerbau bukan sesuatu yang mudah kerana hanya mereka yang benar-benar berkemampuan dan berpengaruh dapat melakukannya.

Pak Wea memberitahu, tengkorak kerbau jantan digunakan kerana kekuatan dan lengkungnya selain mendedahkan tanduk kerbau balau (albino) adalah paling mahal dan sukar diperoleh, dengan harga boleh mencecah ribuan ringgit.

"Selepas organ penting seperti otak dan lidah diambil, tengkorak dibersihkan.

"Proses pengeringan secara semula jadi mengambil masa antara tiga minggu hingga dua bulan, bergantung kepada cuaca dan tahap kelembapan.

Pak Wea bersama tetuang istimewa yang ditandatangani oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Pak Wea bersama tetuang istimewa yang ditandatangani oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

"Kita tidak menggunakan bahan kimia. Bau busuk adalah cabaran utama namun apabila sudah kering, bau akan hilang sepenuhnya," katanya lagi.

Jelasnya, harga hiasan itu mencecah RM450 dan ia juga bergantung kepada keunikan selain saiz dan usia kerbau.

Ujar beliau, bekalan tengkorak diperoleh ketika korban dan kenduri selain daripada pusat penyembelihan.

Dalam pada itu, Pak Wea terus memartabatkan penghasilan tetuang dengan lebih 500 tetuang mendapat sentuhannya hingga kini.

Beliau memberitahu, minat terhadap penghasilan tetuang tercetus selepas tertarik melihatnya di sebuah tapak khemah di Gunung Stong, Kelantan, pada 1996.

“Semua tanduk tidak sama bunyi, ia bergantung kepada kaedah tiupan, dan semua orang boleh bunyikan dengan mempelajari teknik menggunakan getaran bibir,” jelasnya.

Pak Wea bersama tetuang yang mendapat sentuhannya.
Pak Wea bersama tetuang yang mendapat sentuhannya.

Katanya, dahulu tetuang digunakan sebagai alat komunikasi tradisional untuk memberi isyarat ketika perang, musibah atau upacara adat dan bunyinya boleh mencecah jarak sehingga lima kilometer.

“Setakat ini, selain sebagai koleksi peribadi, tetuang juga dijual kepada penggemarnya dan mendapat permintaan hingga dari luar negara seperti Singapura.

“Paling mahal yang pernah saya jual ialah pada harga mencecah RM3,500,” jelasnya lagi.

Mendapat banyak undangan ke pelbagai majlis keraian di seluruh negeri serta festival, Pak Wea juga mahu berkongsi kemahirannya dengan lebih ramai pihak melalui penganjuran bengkel kepada mana-mana pihak yang berminat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!