Kapal persiaran bawa 39 penumpang ditahan guna lesen tamat tempoh

Kapal persiaran membawa 39 penumpang ditahan di kedudukan kira-kira 0.2 batu nautika barat Pulau Lintang Jalan kerana lesen tamat tempoh.
Kapal persiaran membawa 39 penumpang ditahan di kedudukan kira-kira 0.2 batu nautika barat Pulau Lintang Jalan kerana lesen tamat tempoh.
A
A
A

LANGKAWI – Sebuah kapal persiaran yang membawa 36 penumpang warga asing dan tiga penumpang warga tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah/Perlis selepas dikesan menjalankan aktiviti rekreasi air menggunakan lesen tamat tempoh di perairan Langkawi pada Selasa.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kapal persiaran terbabit ditahan kira-kira jam 6 petang oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika rondaan rutin Op Aman, Op Tiris 3.0 dan Op Mardof Utara 1/2025 di kedudukan kira-kira 0.2 batu nautika barat Pulau Lintang Jalan.

Menurutnya, kapal berkenaan turut membawa seorang kapten dan tujuh kru warga tempatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal persiaran tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana lesen telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Romli berkata, anggaran nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM2 juta.

Katanya, kapal persiaran bersama barang kes serta kru telah ditahan dan dibawa ke Jeti Dayang Bay untuk siasatan lanjut.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan akan meneruskan rondaan serta operasi di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara,” ujarnya.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut agar segera menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!