Lapan premis haram ditutup, 16 warga asing ditahan

KULAI – Sebanyak lapan premis perniagaan diarahkan tutup serta-merta manakala 16 warga asing ditahan dalam satu operasi bersepadu membanteras aktiviti perniagaan tanpa lesen di sekitar daerah ini.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, operasi tersebut dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) bersama beberapa agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan pematuhan undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan terlibat.
“Hasil pemeriksaan mendapati semua premis yang diserbu melanggar syarat lesen dan tindakan tegas termasuk penutupan serta sitaan telah diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Dalam operasi hari ini, tiga premis telah disita barangan niaga, lapan premis diarahkan tutup serta-merta, manakala Jabatan Imigresen menahan 16 individu warga asing yang bekerja tanpa permit sah.
“Selain itu, sebanyak RM2,900 kompaun turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin.

Tambah Mohd Jafni, pendekatan tegas itu selaras dengan arahan dan iltizam Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mahu semua kawasan PBT di negeri ini bebas daripada aktiviti haram, tidak terkawal dan yang mengganggu kesejahteraan masyarakat setempat.
“Kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan dalam aspek keselamatan, kebersihan dan integriti sistem pelesenan perniagaan di negeri ini.
“Kerajaan negeri juga memandang serius kegiatan perniagaan haram yang dijalankan oleh warga asing kerana ia mewujudkan ketidakseimbangan dalam ekonomi setempat serta menjejaskan peluang rakyat Johor untuk mencari rezeki,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan terus menggempur kegiatan seumpama itu secara berkala dan menyeluruh di seluruh negeri bagi melindungi ruang ekonomi rakyat tempatan.
“Kita menyokong peniaga kecil dan usahawan tempatan yang mematuhi undang-undang, namun tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan ruang perniagaan.
“Setiap inci ruang niaga adalah amanah rakyat Johor, bukan untuk disalah guna oleh pihak luar yang tidak menghormati undang-undang negara.
“Johor tidak akan berkompromi dalam perkara yang menyentuh kedaulatan ekonomi dan keselamatan perbandaran. Kita akan terus mara bersama agenda #MajuJohor,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

