Seludup rokok bernilai hampir RM3 juta guna Toyota Vellfire

KOTA BHARU – Sindiket penyeludupan rokok semakin berani apabila menggunakan kenderaan mewah Toyota Vellfire untuk mengangkut rokok seludup, namun taktik licik itu berjaya dipatahkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan dalam satu serbuan besar-besaran di Kampung Peringat, Kota Bharu.
Serbuan yang dilakukan pada 19 Februari lalu, jam 11.30 malam, membawa kepada rampasan 3,225,400 batang atau 323 peti rokok putih serta kenderaan mewah yang dipercayai digunakan sebagai alat penghantaran barang larangan itu.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata, pihaknya sudah lama memantau pergerakan sindiket ini sebelum melancarkan operasi yang berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan bernilai hampir RM3 juta itu.
“Pemeriksaan di rumah sewaan yang dijadikan stor transit ini menemukan 3,195,400 batang atau 320 peti rokok, manakala 30,000 batang bersamaan tiga peti lagi ditemui dalam Toyota Vellfire yang diparkir di lokasi sama,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Wan Jamal berkata, nilai sitaan rokok dianggarkan sebanyak RM576,394, manakala jumlah cukai yang cuba dielakkan sindiket ini lebih RM2.1 juta.
“Turut disita ialah Toyota Vellfire bernilai RM150,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan termasuk cukai lebih RM2.9 juta,” katanya.
Beliau menjelaskan, modus operandi sindiket ini adalah menggunakan rumah sewaan sebagai stor penyimpanan sebelum rokok itu diedarkan secara haram ke pasaran tempatan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan hukuman denda minimum 10 kali nilai barang atau RM100,000 dan maksimum 20 kali nilai barang atau RM500,000, atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“JKDM akan terus memperhebat operasi bagi membanteras penyeludupan yang bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil tetapi juga mengancam keselamatan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-8855 atau Pejabat Kastam terdekat.
“Kami memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

