DAP serang Pas sejak putus hubungan - Mohd Amar

MOHD AMAR
MOHD AMAR
A
A
A

KOTA BHARU – Kepimpinan Pas mendakwa DAP mula 'menyerang' mereka selepas kedua-dua parti itu memutuskan kerjasama politik.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, antara bentuk serangan termasuklah pembentukan persepsi bahawa Pas tidak mesra dengan bukan Islam, khususnya masyarakat Cina.

“DAP menggambarkan kita (Pas) sebagai eksklusif, ekstrem, bahkan menakutkan. Sebelum ini, sewaktu kita berada dalam gabungan yang sama, Pas digambarkan sebagai moderat dan terbuka.

“Tetapi sebaik sahaja DAP menarik diri, nada mereka berubah dan Pas menjadi sasaran serangan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya pada Rabu.

Menurut beliau, malangnya sebahagian masyarakat termakan dengan naratif tersebut, terutamanya masyarakat Cina yang secara tradisinya meletakkan kepercayaan tinggi kepada DAP.

Ujarnya, tuduhan itu tidak pernah berpijak pada kebenaran.

Mohd Amar memberitahu, perkara tersebut bukan datang dari dalam, tetapi dibentuk oleh pihak yang mempunyai kepentingan politik.

“Bukan kerana dasar kita berubah, tetapi kerana kita memilih untuk berdiri sendiri membawa prinsip yang tidak tunduk kepada tekanan politik luar.

“Pas kekal dengan dasar asal. Prinsip kita tidak berganjak. Kita tetap berpegang pada perjuangan Islam yang membawa keadilan dan kesejahteraan untuk semua,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, Pas mendukung gagasan ‘Pas For All’ dan perkara itu bukan sekadar retorik.

“Ia lahir daripada kefahaman bahawa Islam tidak datang hanya untuk satu kaum atau satu kelompok, tetapi untuk seluruh manusia. Jika ingin melihat bukti, lihatlah Kelantan,” katanya.

Menurut beliau, Kelantan yang diperintah selama lebih tiga dekad menjadi saksi kepada keadilan dan keterbukaan yang diamalkan Pas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!