Tiga peniaga bazar Ramadan langgar syarat lesen, bunga api, mercun dirampas

Anggota MPPn menyita bunga api dan mercun selepas peniaga didapati melanggar syarat lesen di bazar Ramadan. Foto MPPn
Anggota MPPn menyita bunga api dan mercun selepas peniaga didapati melanggar syarat lesen di bazar Ramadan. Foto MPPn
A
A
A

PONTIAN - Tiga peniaga di bazar Ramadan sekitar daerah ini dikenakan tindakan penguatkuasaan selepas didapati melanggar syarat pelesenan dengan menjual mercun dan bunga api.

Jabatan Pelesenan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) dalam satu kenyataan memaklumkan, pemeriksaan dilakukan di tiga lokasi iaitu Bazar Ramadan Ayer Baloi, Bazar Ramadan Benut dan Bazar Ramadan Stadium Mini Pontian, pada Isnin.

“Hasil pemeriksaan di Bazar Ramadan Ayer Baloi mendapati semua peniaga mematuhi syarat yang ditetapkan.

“Namun, di Bazar Ramadan Benut, seorang peniaga dikesan menjual mercun dan bunga api, manakala dua lagi peniaga di Bazar Ramadan Stadium Mini Pontian turut melakukan kesalahan sama,” katanya dalam muat naik di Facebook pada Selasa.

Tiga peniaga di bazar Ramadan dikenakan tindakan penguatkuasaan selepas didapati melanggar syarat pelesenan dengan menjual mercun dan bunga api. Foto Facebook MPPn
Tiga peniaga di bazar Ramadan dikenakan tindakan penguatkuasaan selepas didapati melanggar syarat pelesenan dengan menjual mercun dan bunga api. Foto Facebook MPPn

Menurut kenyataan itu, tindakan sitaan ke atas barang perniagaan telah dilakukan serta-merta terhadap peniaga yang melanggar syarat.

MPPn turut mengingatkan semua peniaga supaya mematuhi syarat pelesenan yang ditetapkan serta menjaga kualiti dan keselamatan makanan demi kesejahteraan orang ramai.

“Pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kepatuhan peniaga serta kelancaran operasi bazar Ramadan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!