11 rakyat Malaysia di luar negara positif Covid-19

Hishamuddin semasa sidang media selepas sesi taklimat oleh Jabatan Protokol dan Konsular Kementerian Luar di Wisma Putra hari ini. - Foto Bernama
Hishamuddin semasa sidang media selepas sesi taklimat oleh Jabatan Protokol dan Konsular Kementerian Luar di Wisma Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Wisma Putra telah mengenal pasti 11 rakyat Malaysia di luar negara yang dijangkiti Covid-19.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sembilan daripadanya di Singapura dengan dua telah dibenarkan keluar hospital dan selebihnya masih dirawat.

"Dua lagi yang dijangkiti Covid-19 adalah di Jepun dan mereka telah pulang ke Malaysia.

"Bagaimanapun, jumlah berkenaan akan disahkan dengan kementerian lain supaya tidak berlaku percanggahan dengan apa yang diumumkan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, sejumlah 54,430 rakyat Malaysia yang berada di 10 negara yang paling teruk terjejas ekoran penularan Covid-19 sudah berdaftar dengan Perwakilan Malaysia di negara terlibat.

Daripada jumlah itu, 14,929 rakyat Malaysia berada di China, Korea Selatan (4,297), Itali (380), Iran (67), Jepun (6,019), Perancis (2,401), Jerman (2,218), Sepanyol (150), Switzerland (790) dan paling ramai di Amerika Syarikat iaitu seramai 23,179 orang.

Beliau berkata, jumlah itu tidak termasuk 841 penjawat awam dan keluarga masing-masing yang turut menetap di 10 negara berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, timbalannya, Datuk Kamaruddin Jaafar akan mengetuai satu pasukan petugas untuk memantau perkembangan terkini rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Laporan pasukan petugas ini akan dimaklumkan terus kepada rakyat dari masa ke masa," katanya.

Hishammuddin berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jam 3 petang ini bagi memaklumkan langkah seterusnya dalam koordinasi menangani penularan Covid-19.

"Koordinasi ni ada dua aspek yang saya tekankan, pertama koordinasi di antara menteri dan kementerian-kementerian terlibat di negara kita dan keduanya, koordinasi untuk cari amalan terbaik dalam kalangan negara-negara di luar sana yang turut terjejas dengan Covid-19.

"Ini saya dah mula dengan panggilan kepada menteri-menteri luar negara berkenaan, dan kalau dapat koordinasi di peringkat Wisma Putra dengan negara-negara berkenaan yang juga terlibat, kalau kongsi amalan terbaik, saya rasa kita mempunyai peluang yang lebih baik untuk memerangi virus ini," katanya.- Bernama