Sindiket edar jus, vape dadah tumpas, rampasan lebih RM26.9 juta

SHAH ALAM – Taktik licik dua sindiket dadah di sebalik pengedaran jus dan vape terbongkar susulan rampasan dan sitaan bernilai lebih RM26.9 juta dalam siri operasi berasingan sekitar Kuala Lumpur dan Ampang pada 25 dan 26 Jun lalu.
Kedua-dua sindiket yang aktif sejak Oktober dan Disember tahun lalu dikesan memproses dadah sintetik antaranya Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), kokain, ketamin dan ganja ke dalam bentuk jus serta vape sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket berkenaan menggunakan rumah teres dan kondominium mewah yang disewa sebagai makmal untuk memproses bahan terlarang tersebut.
"Jus dan cecair vape ini nampak seperti produk biasa, tetapi sebenarnya mengandungi dadah dan hanya dijual kepada pelanggan tertentu, termasuk ke luar negara.
"Sindiket ini juga mengelak menjual secara dalam talian bagi menghindari pengesanan pihak berkuasa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Selasa.
Beliau berkata, produk itu dipercayai dijual secara fizikal melalui ejen dan penghantar ke lokasi seperti pusat hiburan serta parti tertutup.

Dalam Op Aspen pada 26 Jun itu, Hussein berkata, enam serbuan dijalankan sekitar ibu negara dan menahan 13 individu berusia antara 20 hingga 41 tahun termasuk seorang wanita warga Vietnam.
"Sindiket dipercayai aktif sejak Disember 2024 dengan peranan utama dimainkan oleh empat ahli kimia, seorang pembantu serta enam penghantar yang menerima bayaran antara RM3,000 hingga RM25,000 sebulan.
"Polis turut menemui dua makmal haram di rumah teres sekitar Ampang dan Pandan Perdana yang digunakan untuk memproses dadah jenis MDMA," katanya.
Ujar Hussein, rampasan membabitkan 689.24 kilogram cecair MDMA, serbuk MDMA (1.68kg), ketamin (25.4kg), pil ekstasi (5.3kg) dan pil Erimin 5 (0.726kg).
"Turut disita harta mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 bernilai RM826,222 melibatkan tujuh kereta pelbagai jenis seperti Toyota Vellfire, Lexus dan Mazda CX5, sebuah motosikal Yamaha NVX, wang tunai RM54,511 serta barang kemas," katanya.
Hussein berkata, Op Araucaria yang dijalankan pada 25 Jun ini membawa kepada dua serbuan di kondominium mewah di Ampang yang dijadikan makmal memproses dadah dalam bentuk vape.
"Serbuan dijalankan menahan lima suspek berusia 20 hingga 37 tahun, termasuk tiga lelaki warga Taiwan, seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam.
"Rampasan membabitkan 124.74kg cecair MDMA, serbuk kokain (2.8kg), bunga ganja (0.041kg) serta kartrij vape mengandungi dadah MDMA dan kokain (0.197kg) dengan nilai pasaran RM21.39 juta," katanya.
Tambah Hussein, siasatan mendapati dua suspek warga Taiwan mempunyai rekod jenayah di negara asal membabitkan kes dadah, ugutan, penipuan dan kecederaan.
"Sindiket dipercayai aktif sejak Oktober tahun lalu dan memperoleh keuntungan lebih RM200,000 sebulan.
"Polis turut menyita harta bernilai RM530,513.50 termasuk sebuah Perodua Bezza, lima jam tangan mewah, wang tunai dalam ringgit, dolar Taiwan dan dolar Amerika, barang kemas dan komputer riba.
Kesemua suspek terbabit direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
