[VIDEO] JPJ saman serta-merta kenderaan asing tiada VEP

A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 206,088 kenderaan persendirian individu dan 3,765 kenderaan syarikat telah memasang dan mengaktifkan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) sempena penguatkuasaan sepenuhnya Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) setakat 29 Jun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, statistik itu menunjukkan tahap pematuhan tinggi dalam kalangan pemilik kenderaan asing, khususnya dari Singapura.

Bagaimanapun menurutnya, masih terdapat 42,416 tag RFID yang belum diaktifkan.

Aedy Fadly (kiri) menjelaskan kepada pemilik kenderaan mengenai penguatkuasaan VEP di laluan keluar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), tengah malam Isnin.
Aedy Fadly (kiri) menjelaskan kepada pemilik kenderaan mengenai penguatkuasaan VEP di laluan keluar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), tengah malam Isnin.

"Kita alu-alukan rakyat Singapura untuk masuk ke Malaysia, sebab daripada lebih 280,000 pendaftaran, lebih 200,000 telah aktif.

"Ini menunjukkan mereka patuh kepada peraturan Malaysia. Cuma tinggal segelintir sahaja yang belum patuh dan kita akan pastikan mereka turut mematuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar semasa mengetuai operasi VEP di laluan keluar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini tengah malam Isnin.

Tambah Aedy Fadly, penguatkuasaan itu adalah mengikut Seksyen 66H(7), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang menjadikan kesalahan bagi mana-mana kenderaan motor asing memasuki atau berada dalam Malaysia tanpa permit sah.

Artikel Berkaitan:

Anggota JPJ memeriksa dokumen pemilik kenderaan yang didapati belum memasang dan mengaktifkan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) sempena penguatkuasaan sepenuhnya VEP.
Anggota JPJ memeriksa dokumen pemilik kenderaan yang didapati belum memasang dan mengaktifkan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) sempena penguatkuasaan sepenuhnya VEP.

"Mana-mana kenderaan berpendaftaran Singapura yang dikesan tidak memasang atau mengaktifkan RFID mereka akan dikenakan saman bernilai RM300 serta-merta.

"Semasa kenderaan itu memasuki Malaysia di CIQ, kita boleh kesan mereka tidak mempunyai VEP namun penguatkuasaan tidak dibuat di lokasi tersebut bagi mengelak kesesakan aliran trafik.

"Bagaimanapun mereka akan berdepan kesukaran untuk meninggalkan negara ini sekiranya saman tersebut tidak dibayar dan VEP tidak diaktifkan," jelasnya.

Menurut beliau, JPJ turut menyediakan unit bergerak di lokasi penguatkuasaan untuk membolehkan pemilik kenderaan menyelesaikan saman serta-merta dan mengaktifkan VEP sebelum meninggalkan negara ini.

JPJ turut menyediakan unit bergerak di lokasi penguatkuasaan untuk membolehkan pemilik kenderaan menyelesaikan saman serta-merta dan mengaktifkan VEP sebelum meninggalkan negara ini.
JPJ turut menyediakan unit bergerak di lokasi penguatkuasaan untuk membolehkan pemilik kenderaan menyelesaikan saman serta-merta dan mengaktifkan VEP sebelum meninggalkan negara ini.

"Contohnya, kita sediakan kemudahan di Danga Bay dan pejabat TCCN Danga Bay. Pemilik boleh aktifkan VEP sebelum keluar dari Malaysia.

"Bayaran saman juga boleh dibuat melalui kaunter JPJ, kaunter bergerak, pusat VEP Danga Bay atau secara dalam talian menerusi portal MyEG," ujarnya.

Menurut Aedy Fadly, tiada lagi pengecualian diberikan kepada pemilik kenderaan yang memberi alasan belum sempat mendaftar VEP.

Katanya, pejabat pendaftaran VEP di Danga Bay kini beroperasi 24 jam sehari, termasuk lokasi lain seperti Woodlands.

"VEP ini dah diwujudkan sejak tujuh tahun lalu. Kita dah bagi masa yang cukup panjang, jadi mulai malam ini, masuk tanpa daftar atau aktifkan VEP akan terus disaman.

"Kita juga mobilisasi seramai 55 anggota JPJ malam ini di Johor. Selepas fasa pertama ini, kita akan perluas penguatkuasaan ke negeri-negeri lain yang menjadi tumpuan kenderaan asing,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!