Ibu bapa perlu jadi pelindung, bukan pemangsa

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

DALAM masyarakat yang mengangkat institusi keluarga sebagai tiang seri kehidupan, wujud kes penderaan seksual yang dilakukan oleh bapa kandung atau bapa tiri, malah kekasih ibu sendiri.

Perkara itu berlaku dengan pengetahuan atau keredaan ibu dan ia merupakan satu bentuk pengkhianatan yang sangat kejam.

Lebih menyayat hati, sebahagian ibu sanggup memejamkan mata atas alasan cinta, takut ditinggalkan atau bergantung hidup pada pasangan.

Kes-kes seperti ini semakin banyak disingkap media seperti bapa rogol anak sejak kecil, ada ibu biar teman lelaki tidur sekatil dengan anak, malah ada pula yang bersubahat menjadikan anak sendiri sebagai ‘bayaran hutang’ kepada rakan.

Ini bukan lagi kes luar biasa sebaliknya menjadi fenomena gelap memburukkan wajah institusi kekeluargaan.

Isu utamanya ialah pengabaian tanggungjawab penjagaan dan kegagalan sistem untuk mengesan serta menyelamatkan mangsa pada peringkat awal.

Ramai anak terperangkap kerana tidak tahu kepada siapa harus mengadu, malah ada yang dituduh berbohong apabila membuka mulut.

Dari sudut perundangan, terdapat jurang besar antara akta sedia ada dan realiti pelaksanaan.

Walaupun Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 memperuntukkan pelbagai bentuk perlindungan, tindakan siasatan, pendakwaan dan pemulihan masih lambat dan lemah.

Artikel Berkaitan:

Justeru, penyelesaian mesti bersifat menyeluruh perlu dilaksanakan. Pendidikan seksual berasaskan nilai moral dan agama wajib dijadikan kurikulum utama di sekolah rendah, bukan lagi topik pilihan.

Selain itu latihan wajib untuk semua guru dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan petugas kesihatan dalam mengesan tanda penderaan seksual awal lebam mencurigakan, perubahan tingkah laku, prestasi akademik menjunam supaya intervensi awal perlu dilakukan.

Cadangan penubuhan mahkamah keluarga khas dan pusat perlindungan komuniti boleh bertindak segera dalam isu penjagaan, pemisahan daripada pelaku dan sokongan psikologi intensif.

Dalam masa sama soal perundangan khas terhadap ibu bapa bersubahat membiarkan jenayah berlaku wajar dipertimbangkan supaya tiada ruang untuk lari daripada tanggungjawab.

Anak-anak bukan alat pertukaran kasih, bukan alat lunas hutang, mereka amanah yang perlu dilindungi dengan nyawa.

Kita perlu tanya berapa ramai lagi anak akan rosak sebelum masyarakat benar-benar membuka mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!