Fenomena masjid banyak, jemaah kurang

SAYA pernah menonton video rakyat Malaysia yang kayuh basikal ke Makkah singgah di surau dan masjid di luar negara.
Saya lihat imam atau penjaga masjid tersebut bukan sahaja menyapa mesra, malah siap sediakan tempat tidur dan menjamu makanan kepada mereka.
Mungkin saya terlepas pandang ada situasi seumpama itu di masjid dan surau di negara kita.
Namun baru-baru ini saya amat terganggu dengan video seorang jemaah warga emas dihalau keluar dari surau ketika sedang beriktikaf sementara menunggu waktu duha.
Kejadian ini berlaku di sebuah blok perumahan di sebuah negeri. Hendak dijadikan cerita, warga emas itu ialah bapa kepada seorang PU terkenal, memang virallah jawabnya.
Menurut laporan, bapa PU itu disuruh keluar kerana dia bukan penduduk kawasan tersebut, selain nak elakkan kecurian dan pembaziran tenaga elektrik kerana sudah lepas waktu solat fardu.
Mujurlah pihak surau kemudian menjelaskan wanita yang mengusir warga emas itu bukan AJK surau.
Pihak surau sebaliknya membenarkan sesiapa sahaja untuk beribadat atau berehat sebentar. Tindakan untuk mengunci surau sama sekali tidak akan berlaku, katanya.
Saya tidak mengharapkan pihak surau dan masjid memberi layanan istimewa seperti di luar negara tadi, tapi memadailah dengan mengalu-alukan jemaah untuk mengimarahkan rumah ALLAH, termasuk beriktikaf selepas solat Subuh.
Amalan iktikaf selepas Subuh ini besar ganjarannya berdasarkan hadis riwayat At-Tirmizi, No. 586: “Sesiapa yang solat Subuh berjemaah kemudian duduk berzikir hingga naik matahari, lalu mengerjakan solat dua rakaat, maka baginya pahala seperti pahala haji dan umrah, sempurna, sempurna, sempurna.”
Tidak dinafikan bil elektrik semakin mahal sekarang. Sebuah masjid di Jeli, Kelantan contohnya baru-baru ini merayu infak bil elektrik sekitar RM359 sebulan.
Namun sebuah masjid di Lembah Klang mencatat purata bil RM3,800 sebulan pada awal tahun ini.
Ini mudah difahami kerana rata-rata masjid kini mempunyai banyak pendingin hawa, lampu, kipas biasa dan kipas gergasi.
Di sesetengah masjid pula ada mesin jual air dan kerusi urut. Semua ini pakai elektrik. Pihak masjid sanggup sediakan semua ini asalkan jemaah selesa.
Namun di sebalik semua kemudahan ini termasuk karpet tebal dan cantik seperti di Masjid Nabawi, bilangan jemaah yang hadir untuk solat lima waktu masih kurang di kebanyakan masjid, sampaikan penyanyi seperti Alif Satar terpaksa buat kempen ‘Subuh Macam Jumaat’.
Subuh seperti Jumaat ini merujuk kepada fenomena di mana jumlah jemaah solat Subuh di suatu masjid atau surau menjadi sangat ramai, seolah-olah seperti solat Jumaat.
Kes diusir dari masjid ini boleh dikatakan terpencil. Namun kadangkala disebabkan perangai segelintir individu, ramai yang malas untuk menjejakkan kaki ke masjid.
Itu belum lagi ada kes musafir singgah solat di beranda masjid selepas waktu Isyak tiba-tiba orang masjid tutup semua lampu.
Masjid bukan tempat milik peribadi. Ia bukan tempat untuk kita kecoh tentang siapa bayar lebih atau di kawasan mana jemaah tinggal kerana apabila masjid minta derma, tidak pernah pula ditanya siapa yang derma dan duduk di kariah mana.
Bagi jemaah pula haruslah faham peraturan tidak bertulis. Kalau cuma ada seorang dua jemaah, cukuplah pasang satu kipas dan satu lampu, bukan habis semua hendak dibuka.
Tetapi saya percaya mereka ini ialah orang yang ikhlas ke rumah ALLAH. Bak kata pepatah, beribadah jangan berlagak, beramal jangan menunjuk.
Ada banyak masjid dan surau di negara ini, sekurang-kurangnya 6,825 masjid dan 18,385 surau mengikut data Jakim.
Jadi makmurkanlah. Masjid adalah tempat jiwa kecamuk datang berteduh, tempat hati yang lelah mencari tenang.
*Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
