Tak wajar halau jemaah, surau dan masjid bukan ruang eksklusif kumpulan tertentu - Menteri Agama

SHAH ALAM - Tindakan menghalau jemaah yang sedang beribadah bertentangan dengan semangat rahmah, adab serta ihsan yang sepatutnya menjadi budaya dalam pengurusan institusi surau dan masjid.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perbuatan menghalau jemaah tanpa menimbulkan gangguan adalah tidak wajar.
"Surau dan masjid adalah rumah ALLAH SWT, tempat berlindung jiwa, menenangkan hati dan mendekatkan diri kepada-Nya, sekali gus bukan ruang eksklusif dikawal tanpa hikmah dan timbang rasa.
"Amalan beriktikaf seperti membaca al-Quran dan menunggu waktu solat Dhuha adalah satu bentuk ibadah mulia, bahkan sangat digalakkan dalam Islam," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 38 saat memaparkan tindakan seorang wanita menghalau seorang lelaki yang sedang duduk di surau berkenaan selepas solat Subuh.
Susulan itu, pendakwah dan personaliti televisyen terkenal, PU Azhar Hilmi meluahkan rasa terkilan dan kecewa dengan tindakan wanita itu, sambil memaklumkan bapanya hanya duduk sebentar untuk membaca al-Quran sementara menanti waktu solat Dhuha.
Justeru, Mohd Na’im menyeru kepada semua pihak agar sentiasa mengamalkan pendekatan penuh hikmah, lemah lembut dan menghormati jemaah khususnya warga emas yang tekun beribadah.
Beliau mengingatkan sebarang tindakan pencegahan terhadap isu keselamatan atau pengurusan mesti dilaksanakan dengan adab, komunikasi berhemah dan bukan dengan mengaibkan.
"Saya juga ingin mengingatkan bahawa menjaga rumah ALLAH SWT bukan semata-mata menjaga struktur bangunan, tetapi lebih utama menjaga suasana spiritual, akhlak dan keharmonian dalamnya.
"Islam mengajar kita "rahmatan lil ‘alamin" dan tidak ada tempat seharusnya lebih mencerminkan kasih sayang selain daripada rumah-rumah ALLAH SWT," ujarnya lagi.
Tambah beliau, semua pihak diseru memperbetul keadaan berlaku dengan semangat islah dan saling memaafkan agar maruah dan kehormatan rumah ALLAH SWT kekal terpelihara serta jemaah terus merasa selamat dan dialu-alukan.
“Kita jaga surau, tapi jangan sampai lupa jaga adab dan hati manusia,” tegas Mohd Na'im.
Dalam perkembangan sama, beliau rasa sedih dan kecewa atas layanan diterima individu tersebut yang difahamkan merupakan ayah kepada pendakwah, PU Azhar Hilmi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

