SST, tarif elektrik baharu: Ekonomi suku ketiga 2025 dijangka mencabar

BERMULA 1 Julai, kerajaan akan melaksanakan perluasan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijangka memberi kesan kepada industri dan rakyat di negara ini.
Selain itu, pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu juga akan berlangsung pada hari sama, menyaksikan perubahan kadar surcaj dan rebat yang bakal mempengaruhi bil pengguna domestik dan komersial.
Dua langkah tersebut iaitu peluasan SST dan jadual tarif elektrik baharu berlaku serentak dan menandakan fasa baharu dalam landskap perniagaan serta ekonomi negara.
Dalam konteks ini, pemerhatian kesan terhadap pengguna, perniagaan dan sektor ekonomi tertentu menjadi semakin penting, terutama menjelang suku ketiga tahun 2025 yang dijangka mencabar.
Pada Isnin, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melancarkan Ops Kesan 4.0 bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sewenang-wenangnya susulan pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan Ops Kesan itu berkuatkuasa pada tarikh sama pelaksanaan semakan dan peluasan skop SST itu yang bermula pada Selasa.
Ujar beliau, fokus pemantauan dan penguatkuasaan adalah untuk memastikan peniaga di semua peringkat tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan serta perkhidmatan dengan tidak munasabah serta bertentangan dengan perundangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723).
Situasi ini menunjukkan bahawa kerajaan telah membuat persediaan awal bagi mengurangkan kesan langsung pelaksanaan dasar fiskal baharu ke atas pengguna dan perniagaan.
Pelaksanaan Ops Kesan 4.0 oleh KPDN adalah langkah kawalan segera bagi memastikan harga kekal stabil dan tidak dimanipulasi sesuka hati.
Namun begitu, jangkaan terhadap kesan jangka pendek tetap tidak dapat diketepikan.
Pengguna mungkin akan merasai kenaikan harga bagi sesetengah barangan dan perkhidmatan, terutamanya yang sebelum ini tidak dikenakan cukai perkhidmatan, seperti perkhidmatan logistik, penyelenggaraan dan beberapa perkhidmatan profesional.
Bagi pihak peniaga pula, peningkatan kos operasi mungkin berlaku hasil gabungan dua faktor iaitu cukai tambahan melalui SST dan peningkatan bil elektrik di bawah jadual tarif baharu.
Kesan ini dijangka lebih ketara kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai keuntungan yang tipis.
Dalam sektor industri, terutama pengeluaran dan pembuatan, perubahan kadar tarif elektrik juga memberi impak langsung terhadap kos pengeluaran, menyebabkan peningkatan harga produk akhir, sekali gus mempengaruhi kuasa beli pengguna.
Sehingga kini, pelaksanaan SST masih mendapat reaksi bercampur-campur daripada pemain industri dan pengguna.
Ada yang bersetuju demi kelestarian ekonomi negara, namun tidak kurang juga yang bimbang dengan kesan rantaian terhadap harga pasaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

