Cermat tangani impak SST demi kebajikan rakyat

Pelaksanaan peluasan dan pelarasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula hari ini. Gambar hiasan
Pelaksanaan peluasan dan pelarasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula hari ini. Gambar hiasan
A
A
A

PELAKSANAAN peluasan dan pelarasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula hari ini telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat, khususnya rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Perlu diketahui, pelaksanaan SST adalah sebahagian daripada dasar fiskal kerajaan di bawah rangka Ekonomi Madani.

Ia bertujuan meningkatkan hasil negara dengan meluaskan skop cukai perkhidmatan kepada sektor baharu seperti perkhidmatan penyewaan, pembinaan, pendidikan swasta, kesihatan swasta, kecantikan dan perkhidmatan kewangan.

Cukai jualan iaitu cukai tidak langsung yang dikenakan ke atas barang-barang kilangan tempatan dan import, cukai dikenakan sekali sahaja seperti jam tangan berjenama, peralatan golf serta beberapa jenis makanan import termasuk salmon.

Walaupun kerajaan menegaskan bahawa pelaksanaan SST adalah bersasar dan tidak membebankan rakyat terbanyak, namun sebahagian besar rakyat marhaen bimbang mereka akan merasai kesannya.

Ada juga berpandangan peluasan SST sebagai permulaan kepada tekanan ekonomi berganda yang digelar oleh sesetengah pihak sebagai ‘penyakit ekonomi tiga serangkai’ iaitu SST, pemansuhan subsidi petrol RON95 secara berperingkat dan tarif baharu elektrik.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam kenyataannya baru-baru ini menyuarakan kebimbangan bahawa gabungan ketiga-tiga langkah itu akan meningkatkan kos sara hidup rakyat biasa secara drastik walaupun ia adalah satu usaha reformasi fiskal negara.

Meskipun kerajaan telah mengumumkan pengecualian cukai terhadap beberapa barangan asas dan makanan tertentu seperti limau mandarin, kurma, epal dan oren, namun senarai pengecualian itu masih terhad untuk menampung keperluan isi rumah rakyat biasa.

Dalam masa sama, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut bimbang terhadap kesan rantaian SST terhadap operasi dan harga jualan mereka.

Artikel Berkaitan:

Tanpa keupayaan menuntut cukai input seperti dalam sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) dahulu, peniaga kecil berpotensi memindahkan kos cukai kepada pengguna, sekali gus meningkatkan lagi harga barang di pasaran.

Justeru, cadangan telah dikemukakan oleh pelbagai pihak agar kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan SST ini, antaranya termasuk meningkatkan ambang pendaftaran SST bagi PKS, memperluas senarai pengecualian untuk barangan yang biasa digunakan rakyat, serta menyediakan bantuan kewangan langsung seperti baucar atau rebat tunai kepada isi rumah B40 dan M40 bagi mengimbangi impak cukai.

Pun begitu, dalam penjelasan panjang lebar kerajaan baru-baru ini, SST akan membantu menambah pendapat negara sehingga RM10 bilion setahun.

Malah Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Johan Mahmood Merican memaklumkan lebih 5.4 juta rakyat berpendapatan rendah dan sederhana dijangka menerima manfaat hasil peluasan skop SST itu.

Kata Johan, usaha membantu kelompok rakyat terbanyak itu dilaksanakan melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang jumlah penerimanya meningkat kepada 5.4 juta orang sejak April lalu berbanding 700,000 sebelum ini.

Jelas beliau lagi, bantuan antara RM50 hingga RM200 sebulan mengikut kategori membolehkan golongan yang menerima bantuan ini membeli keperluan asas dengan menggunakan MyKad.

Kesimpulannya, pelaksanaan SST bukanlah sesuatu yang perlu ditolak sepenuhnya, tetapi hendaklah berpaksi kepada pelaksanaan yang bijak, telus dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Kementerian dan agensinya perlu bergabung tenaga untuk memantau impak SST kepada rakyat, malah lebih penting memastikan tidak ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati hanya atas nama SST.

* Mohd Nasri Jamaludin ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!