Peniaga dakwa sukar dapatkan bekalan gas LPG bersubsidi

IPOH - Peniaga kecil dalam sektor makanan dan minuman mendakwa berhadapan dengan kesukaran mendapatkan bekalan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dalam pasaran, baru-baru ini.
Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Melayu Pasar Malam Bergerak Bahagian Kinta (Payung), Jaafar Uthman berkata, belum pun kerajaan muktamadkan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 2021, pembelian tong gas pula seolah-olah dicatu.
"Sebagai pengguna, peniaga akan beli maksimum tiga tong gas untuk menjual makanan dan minuman tetapi dalam minggu ini kami hanya boleh dapat dua atau satu tong.
"Alasan yang diberikan adalah tidak cukup bekalan, tong sudah habis sedangkan tiada masalah pun sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Payung kali ke-36 tahun 2025/2026 di sini pada Ahad.
Menurut Jaafar, pihaknya bimbang berlakunya kekurangan bekalan dalam pasaran seperti mana beras putih tempatan dan minyak masak peket, jika tidak dipantau awal.

Pada masa sama, beliau turut meminta kerajaan tidak melaksanakan penggunaan tong gas industri (tong ungu) ke atas peniaga makanan.
"Cukuplah harga yang ada sekarang. Kita pun berhadapan dengan kenaikan tarif elektrik dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
"Kenaikan ini dikatakan melibatkan peniaga besar tetapi peniaga kecil akan menerima kesan kerana mereka menjual kepada kami dengan harga mahal.
"Saya minta kerajaan ambil perhatian perkara ini dan sebaiknya perbaiki penguatkuasaan bagi mengatasi ketirisan subsidi ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
