TPM Thailand tolak kudeta kembali berulang

Ribuan penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di Monumen Kemenangan di Bangkok pada akhir minggu lalu bagi menuntut pengunduran Paetongtarn. Gambar kecil: Phumtham
Ribuan penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di Monumen Kemenangan di Bangkok pada akhir minggu lalu bagi menuntut pengunduran Paetongtarn. Gambar kecil: Phumtham
A
A
A

BANGKOK – Timbalan Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai menepis spekulasi mengenai kemungkinan insiden rampasan kuasa kembali berulang di negara itu.

Phumtham yang juga Menteri Pertahanan menegaskan pemimpin tertinggi tentera tidak berniat untuk melancarkan kudeta meskipun provokasi kumpulan antikerajaan semakin meningkat.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada desakan pemimpin protes yang menuntut campur tangan tentera untuk menggulingkan Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra.

"Angkatan tentera komited untuk membantu negara mengharungi cabaran semasa melalui saluran demokrasi.

"Saya telah bercakap dengan keempat-empat ketua angkatan tentera dan mereka juga sepakat untuk membantu negara dan bukannya merampas kuasa. Ia langsung tidak terlintas dalam fikiran mereka," ujarnya.

Beliau juga menyatakan kerajaan menghormati hak berdemonstrasi dan terbuka untuk menerima cadangan yang membina.

"Tetapi, saranan yang menjejaskan sistem politik dan undang-undang tidak akan diendahkan," jelasnya lagi.

Phumtham juga mengesahkan mereka sedang berusaha untuk melaksanakan perintah diraja bagi melantik Kabinet baharu bersama beberapa inisiatif dasar akan datang.

Beliau sekali lagi memberi amaran kepada pemimpin protes supaya tidak mengulangi 'taktik gangguan' seperti sedekad lalu yang telah memberi impak besar kepada Thailand.

Artikel Berkaitan:

"Media usah buat spekulasi tentang kemungkinan Paetongtarn digantung tugas oleh Mahkamah Perlembagaan meskipun popularitinya kian merosot. Sokongan yang turun dan naik ialah perkara yang biasa dalam politik," menurutnya.

Sejak beberapa minggu lalu, kedudukan anak kepada bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawtra agak tergugat selepas sekumpulan senator memfailkan petisyen menuntut penyingkirannya susulan kebocoran perbualan peribadi bersama pemimpin berpengaruh Kemboja, Hun Sen yang didakwa mengkritik tentera. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!