X

Kindly register in order to view this article
!

Peguam Najib ketahui keputusan ujian Covid-19 hari ini

Muhammad Shafee
Muhammad Shafee
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua peguam bagi kes perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan mengetahui sama ada beliau positif atau negatif Covid-19, petang ini.

Peguam Noor Farhah Mustaffa yang mewakili Muhammad Shafee memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah bahawa Muhammad Shafee dan isterinya, Tania Scivetti dan kesemua pasukan pembelaan sedang menjalani kuarantin diri sendiri sementara menunggu keputusan ujian berkenaan.

"Muhammad Shafee dan isteri Tania Scivetti (yang juga seorang peguam dalam pasukan pembelaan itu) telah menjalani ujian itu semalam pada jam 4 petang di KPJ Damansara. Mereka telah dinasihati agar menjalani kuarantin diri sendiri sehingga keputusan ujian itu diketahui petang ini,” katanya.

Semalam, perbicaraan dikosongkan selepas mahkamah diberitahu bahawa ipar perempuan Muhammad Shafee adalah kontak rapat seorang pesakit positif Covid-19 dan kemudian ada kontak dengan Muhammad Shafee pada 12 Mac.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Bicara 1MDB ditunda, peguam Najib kuarantin di rumah

Sementara itu, Noor Farhah juga menyerahkan sepucuk surat daripada KPJ Damansara dan notis pengasingan itu daripada Kementerian Kesihatan bagi ipar Muhammad Shafee bertarikh 12 Mac seperti yang diminta oleh mahkamah berkenaan.

"Yang Arif, mengikut notis itu, beliau (ipar perempuan Muhammad Shafee) diarah menjalani kuarantin dari 11-25 Mac. Beliau akan mendapat keputusan ujian itu petang ini atau pagi esok,” tambah beliau.

Hakim Sequerah kemudian memberitahu peguam berkenaan bahawa jika kedua-dua Muhammad Shafee dan Tania Scivetti negatif daripada virus itu, beliau meminta diberitahu pada Isnin agar perbicaraan akan diteruskan pada Khamis hadapan.

Apabila perbicaraan disambung, Muhammad Shafee dijangka meneruskan pemeriksaan balas ke atas saksi kesembilan pendakwa, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Najib, 67, berhadapan empat pertuduhan menyalah guna kedudukannya untuk mendapatkan gratifikasi berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 kes pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!