X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Bicara 1MDB ditunda, peguam Najib kuarantin di rumah

Muhammad Shafee Abdullah
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ditunda selepas peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri itu disyaki terdedah dengan jangkitan koronavirus (Covid-19).

Muhammad Shafee Abdullah diarahkan menjalani kuarantin diri di rumah oleh Kementerian Kesihatan (KKM) selepas didapati berhubung dengan individu yang mempunyai kontak secara langsung dengan pesakit Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Noor Farhah Mustaffa kepada mahkamah petang tadi.

Ketika prosiding perbicaraan bermula, Noor Farhah berkata, Muhammad Shafee mempunyai kontak dengan kakak iparnya yang juga teman rapat kepada pesakit Covid-19 iaitu seorang kakitangan Sirim Berhad ketika majlis kenduri di rumahnya dekat Bukit Tunku di sini Sabtu lalu.

“Tan Sri (Muhammad Shafee) sudah bersiap sedia untuk hadir prosiding hari ini, namun terpaksa bergegas ke Hospital Sungai Buloh bagi menjalani pemeriksaan selepas menerima panggilan daripada isterinya, jam 12 tengah hari tadi.

“Selain Muhammad Shafee, lapan peguam dalam pasukan pembelaan bagi kes ini diminta melakukan pemeriksaan sama selepas 11 kakitangan Sirim (tempat kerja kakak ipar Muhammad Shafee) dikuarantin di hospital berkenaan,” katanya.

Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes 1MDB hari ini.
Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes 1MDB hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram tidak membantah demi kepentingan kesihatan awam.

Hakim Collin Lawrence Sequerah mengarahkan pasukan pembelaan menyerahkan surat pengesahan daripada KKM dan Hospital Sungai Buloh selewat-lewatnya pagi esok sebelum keputusan lanjut berhubung perjalanan perbicaraan ini diambil.

Tanpa dua dokumen itu, Sequerah berkata, kes perbicaraan akan berlangsung seperti biasa pagi esok.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sirim sahkan seorang petugasnya positif Covid-19


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!