Tiga veteran ATM bangga terima PJM

SHAH ALAM - Tiga veteran Angkatan Tentera (ATM) bersyukur dan bangga selepas menerima penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Samat Ahmad, 70, dari Kampung Membelua, Tawau yang pernah berkhidmat dalam pasukan 6 Renjer, unit Combat Intelligent Squad Tentera Darat Combat Intelligent Squad Tentera Darat Combat Intelligent Squad pada 1974 hingga 1984, menyifatkan penerimaan pingat itu sebagai detik penuh makna.
“Saya gembira kerana lama menunggu. Alhamdulillah, saya terharu dengan pingat yang diterima ini,” katanya.

Samat adalah antara 63 penerima pingat berkenaan pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Tawau, Sabah pada Ahad.
Penganugerahan PJM itu merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk mengiktiraf pengorbanan warga ATM dalam menjaga keselamatan negara.
Sementara itu, para veteran berharap langkah itu menjadi permulaan kepada banyak usaha membela nasib golongan bekas tentera.
Dalam masa sama, Samat menyeru agar kerajaan terus membuka mata terhadap keadaan sebenar golongan veteran yang menurutnya masih ramai memerlukan bantuan asas.
“Kebanyakannya bukan orang senang dan memerlukan bantuan daripada kerajaan. Tiada insentif yang cukup untuk membantu mereka meneruskan hidup, apatah lagi dengan usia yang sudah lanjut termasuk keperluan perubatan,” ujarnya.
Seorang lagi penerima, Mohamad Zainudin, 63, berasal dari Terengganu dan menetap di Tawau sejak 1998, menyambut baik penghargaan berkenaan sambil mengimbau kembali perkhidmatannya dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sejak 1982 hingga 1994.

“Syukur ada pihak yang mengerti pengorbanan kami. Terima kasih kepada Kementerian Pertahanan kerana mengenang jasa kami,” katanya yang kini menjalani kehidupan selepas bersara bersama empat orang anak dan pernah diserang strok.
Sementara itu, Ismail Mentol, 68, berasal Melaka dan bermastautin di Sabah sejak 1963, turut senada dengan Samat dan Mohamad susulan pengiktirafan yang diterimanya.
“Saya berterima kasih kepada Kementerian Pertahanan dan berbangga atas peringatan jasa-jasa kami dikenang. MINDEF terbaik, generasi baharu beruntung berbanding zaman kami dahulu,” katanya yang berkhidmat selama 21 tahun dalam ATM dan pernah bertugas di Kemboja selama 15 tahun.

Ismail juga menyarankan agar kementerian memberi perhatian khusus kepada kebajikan veteran ATM yang bersara sebelum tahun 2013.
“Saya harap kerajaan terus menjaga kebajikan anggota yang telah bersara. Jangan dilupakan jasa-jasa kami yang terdahulu,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
