Ribut akibat perubahan bayu laut, bayu darat

Keadaan bumbung di Flat Taman Tun Sardon yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut awal pagi Ahad. Gambar kecil: Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah
Keadaan bumbung di Flat Taman Tun Sardon yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut awal pagi Ahad. Gambar kecil: Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah
A
A
A

SHAH ALAM - Kejadian ribut yang berlaku di beberapa negeri ketika ini berpunca daripada perubahan angin bayu laut dan bayu darat, bukannya disebabkan sebarang fenomena luar biasa atau musim monsun.

Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan dan Institut Sains Samudera dan Bumi Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, fenomena itu menyebabkan ribut lazimnya berlaku di pesisir pantai pada waktu tengah hari dan berpindah ke kawasan laut pada waktu malam.

Azizan berpandangan, corak ribut harian ini adalah perkara biasa yang sering berlaku ketika cuaca panas dan tidak berkait dengan perubahan cuaca ekstrem.

“Kita sekarang di bawah pengaruh ENSO-Neutral, jadi berlakulah ribut dan petir sekali-sekala.

"Bagaimanapun, situasi terbabit tidaklah sehingga menyebabkan banjir besar.

“Ribut petir di Malaysia dijangka ada dalam 265 hari dan tiada fenomena pelik, sebaliknya hanya disebabkan bayu laut dan bayu darat,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sebanyak lapan buah kereta dan empat buah motosikal mengalami kerosakan akibat ditimba bumbung dan kayu yang terjatuh akibat ribut di Flat Taman Tun Sardon, Gelugor, George Town pada awal pagi Ahad.
Sebanyak lapan buah kereta dan empat buah motosikal mengalami kerosakan akibat ditimba bumbung dan kayu yang terjatuh akibat ribut di Flat Taman Tun Sardon, Gelugor, George Town pada awal pagi Ahad.

Menurutnya, walaupun tiada jangkaan berlakunya banjir besar ketika ini, orang ramai dinasihatkan supaya lebih peka dengan perubahan cuaca terutamanya mereka yang menjalankan aktiviti di laut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan hanya beberapa kawasan di Sarawak seperti Sibu, Mukah, Kapit dan Bintulu dijangka dilanda ribut petir dan hujan lebat sehingga jam 6 petang, Ahad.

Bagaimanapun, agensi itu menjangkakan ribut boleh berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara pada sebelah pagi mahupun petang Isnin.

Menurut ramalan cuaca seluruh negara dikeluarkan agensi itu, ribut petir berlaku di beberapa tempat di Perak dan Sabah pada sebelah pagi, manakala hujan di beberapa tempat di Selangor dan Negeri Sembilan dan Melaka.

“Beberapa kawasan di Pahang, Kuala Lumpur, Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Sarawak juga dijangkakan berlaku ribut petir pada waktu petang,” katanya

Bagaimanapun, agensi itu menyatakan tiada hujan di Perlis, Pulau Pinang dan Putrajaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!